Khabar angin terbaru berkenaan siri iPhone 13 mengatakan peranti tersebut kelak menyokong pengecasan pantas sehingga 25W. Buat masa ini, iPhone paling terkini iaitu iPhone 12 menyokong sehingga 20W.
Sungguhpun jika kapasiti pengecasannya mampu ditingkatkan sehingga 25W, tempoh pengecasannya mungkin tidak mampu disingkatkan secara drastik.
Menurut laporan dari MyDrivers tersebut, pengecas 18W dikatakan tidak akan lagi ditawarkan dan pengecas 25W berkenaan harganya pula akan lebih tinggi dari pengecas 20W.
Pengecas baharu ini bermakna pengguna dengan iPhone generasi berikut yang inginkan pengecasan pantas perlu mendapatkan pengecas baharu memandangkan Apple tidak lagi menyediakan adapter pengecas bersama-sama pembelian iPhone baharu.
iPhone baharu biasanya diumumkan dalam tempoh sekitar September pada setiap tahun. Generasi berikutnya iPhone ini mungkin akan menawarkan ciriĀ always-on display, pilihan storan sehingga 1TB, dan mungkin mempunyai petak kamera yang lebih besar dibelakangnya.
Apa pun, desas-desus ini masih belum disahkan betul memandangkan tiada kenyataan rasmi dari pihak Apple. Untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, nantikan perkembangannya menjelang hari pelancarannya dalam masa terdekat ini.