iOS 15 kini telah sedia untuk dimuat turun. Salah satu fungsi yang ditawarkan adalah sokongan panggilan FaceTime dengan pengguna Android dan Windows.
Selain dari sokongan tersebut, kemaskini terkini melibatkan FaceTime juga menyediakan ciri baharu seperti
- Pandangan grid baharu
- Portrait Mode
- Keupayaan menjadualkan panggilan
- SharePlay – Fungsi menonton tayangan video secara berkumpulan
Berbalik kepada fungsi sokongan FaceTime dengan pengguna Android dan Windows tadi, berikut adalah cara untuk melakukannya.
Cara buat panggilan FaceTime dengan pengguna Android atau Windows
Pengguna Android dan Windows tidak memerlukan muat turun aplikasi FaceTime untuk menggunakannya. Apa yang diperlukan adalah pemanggil perlu mempunyai peranti Apple dan juga akaunnya.
Bagi anda pengguna Apple, anda perlu memuat turun iOS 15 terlebih dahulu. Untuk memulakan panggilan FaceTime dengan pengguna Android atau Windows:
- Pemanggil membuka aplikasi FaceTime pada iPhone
- Ketik pada Create Link
- Satu paparan akan meluncur naik dari bawah menunjukkan ‘FaceTime Link‘. Anda boleh memasukkan nama untuk sesi sembang anda pada Add Name.

- Pada paparan yang sama, anda akan melihat pilihan untuk berkongsikan pautan melalui teks, emel, Twitter, kalendar atau apa-apa aplikasi yang terdapat pada telefon anda. Atau, anda boleh sahaja menyalin dan menampal pautan berkenaan mengikut kesesuaian anda.
- Untuk menyertai sesi panggilan anda sendiri, ketik pada nama sesi sembang yang anda wujudkan dan ketik Join.
- Apabila pengguna Android atau Windows klik pada pautan yang anda telah berikan, ia akan membawa mereka ke ‘bilik menunggu’. Anda seterusnya boleh membenarkan mereka menyertai sesi panggilan dengan menandakan ruangan pada sebelah nama masing-masing.
Cara menyertai sesi panggilan FaceTime menggunakan Android atau Windows
Untuk menyertai panggilan FaceTime pada peranti Android atau Windows, anda terlebih dahulu perlu menerima pautan yang dihantar oleh pemanggil yang mempunyai peranti Apple. Anda tidak perlu untuk memuat turun aplikasi berkenaan kerana anda boleh menyertainya secara terus dari pautan yang diberikan.
- Buka pautan FaceTime yang telah diberikan kepada anda
- Pautan tersebut akan membuka pelayar web pilihan anda (pastikan pelayar web seperti Chrome atau Edge tersebut versi yang terkini). Masukkan nama anda, dan ketik Continue.
- Skrin akan menyatakan “Waiting to be let in,” sehingga pemanggil berkenaan membenarkan anda memasuki sesi sembang tersebut
Itu sahaja dan selamat bersembang dengan FaceTime 🙂













