Apple baru sahaja meluncurkan iOS 13.5 Beta terbaru untuk agihan awam. Antara fungsi terbaru yang dimasukkan adalah ciri pengecaman topeng muka untuk Face ID bagi memudahkan pengguna menyahkunci iPhone.

Melalui iOS 13.5 Beta, para penggunanya akan diajukan oleh iPhone dengan kod laluan apabila Face ID mengesan pengguna memakai topeng muka. Sebagai perbandingan, pengguna iPhone buat masa ini perlu membiarkan pengesanan Face ID tamat terlebih dahulu sebelum diajukan dengan kod laluan.

Secara keseluruhannya, pengguna-pengguna yang memakai topeng muka kelak boleh menyahkunci iPhone dengan lebih cepat.

iOS 13.5 Beta terbaru ini juga menyertakan pilihan tetapan yang dikenali sebagai COVID-19 Exposure Notifications. Tetapan ini boleh diakses menerusi bahagian Health di dalam tetapan Privasi.

Pilihan tetapan terbaru ini juga merupakan hasil dari usahasama di antara Apple dan Google yang menyediakan keupayaan penjejakkan kontak COVID-19 berasaskan Bluetooth di dalam peranti Android dan iOS. Penyediaan ini juga membolehkan pengguna yang tidak mahu turut serta membuat penukaran tetapan tersebut.

Memandangkan beta ini sudah disediakan sebagai akses kepada orang ramai, dijangkakan versi muktamad iOS 13.5 bakal hadir tidak berapa lama lagi.

 

Tinggalkan komentar