Mungkin hal ini mengejutkan sesetengah pengguna Apple, apabila gergasi teknologi berkenaan mengumumkan peranti-peranti yang dihasilkan pada dan sebelum tahun 2013 akan dijadikan sebagai peranti lapuk.
Apple telah mengumumkan kemaskini iOS 11 hanya boleh dioperasikan pada peranti 64-bit sewaktu World Developers Conference yang berlangsung baru-baru ini. Hal ini secara tidak langsung menjadikan model-model keluaran terdahulu seperti iPhone 5 dan iPhone 5c tidak akan menerima lagi sebarang kemaskini dan pembaikan keselamatan.
Selain itu, iPad 4 dan ratusan aplikasi-aplikasi juga akan menjadi lapuk apabila sokongan terhadap aplikasi 32-bit juga akan ditarik keluar.
Menurut The Guardian, pengguna peranti yang lebih baru seperti iPhone 7 turut menerima kesan dari kemaskini sistem operasi terbaru ini kerana sesetengan aplikasi-aplikasi yang terdahulu yang dibangunkan khusus untuk 32-bit sahaja dan bukan untuk sistem 64-bit.
Ini juga menjadikan sebarang aplikasi-aplikasi yang tidak dikemaskini semenjak dari tahun 2015 mungkin tidak boleh digunakan lagi pada peranti yang menerima kemaskini berkenaan.
Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook turut memberikan gambaran sepintas lalu berhubung kemaskini terbaru iOS pada World Developers Conference yang berlangsung di California, Amerika Syarikat.
Kemaskini iOS 11 turut dilaporkan bakal menyertakan fungsi realiti imbuhan buat julung kalinya, manakala pembantu bersuara, Siri pula telah dinaiktaraf dengan antaranya menawarkan fungsi pilihan suara lelaki atau wanita mengikut citarasa pengguna
Pengguna boleh menyemak aplikasi apa yang terkesan dengan memeriksa melalui Settings > General > About > Applications > App Compatibility
Berikut adalah peranti-peranti yang boleh mengimplementasikan kemaskini iOS 11:
iPhone:
- iPhone 7/Plus
- iPhone 6s/Plus
- iPhone 6/Plus
- iPhone SE
- iPhone 5s
iPad:
- iPad Pro (12.9-inci, 10.5-inci, dan 9.7-inci)
- iPad Air
- iPad Air 2
- iPad (generasi kelima)
- iPad mini 2/3/4
Tidak ketinggalan, iPod Touch (generasi keenam).
Kemaskini ini bakal diterima oleh pengguna-pengguna Apple sekitar enam bulan dari sekarang.
Sumber berita diperoleh dari The Guardian













