Jika anda mendapati akaun Instagram anda digantung secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab, anda tidak perlu khuatir kerana sejumlah besar pengguna berhadapan masalah yang sama dalam tempoh beberapa jam yang lepas.
Menurut laman DownDetector, jumlah laporan yang diterima dari pengguna meningkat mendadak bermula dari jam 8.30 malam waktu Malaysia. Ia seterusnya memuncak sehingga lebih dari 7,600 laporan sekitar jam 10.00 malam.
Angka tersebut mula berkurangan secara berterusan selepas itu menjelang tengah malam tadi. Pihak Instagram telah mengambil maklum berkenaan masalah ini dengan mengeluarkan permohonan maaf pada malam tadi di Twitter. Bagaimanapun tiada maklumat lanjut dijelaskan tentang punca kejadian.
We're aware that some of you are having issues accessing your Instagram account. We're looking into it and apologize for the inconvenience. #instagramdown
— Instagram Comms (@InstagramComms) October 31, 2022
Lebih kurang seminggu yang lalu, satu lagi subsidiari di bawah Meta, WhatsApp turut berdepan dengan gangguan capaian selama beberapa jam. Berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 2021, WhatsApp dan Meta tidak menjelaskan dengan lebih lanjut punca masalah gangguan ini berlaku.
Sungguhpun apa yang berlaku pada Instagram ini tidak sebesar masalah yang berlaku pada WhatsApp minggu lepas, ia membawa banyak persoalan tentang apa yang sedang berlaku sebenarnya di dalam Meta apabila dua perkhidmatan utamanya mengalami masalah silih berganti.













