Xiaomi akan meluaskan lagi barisan telefon pintar permua keluarannya dengan melancarkan telefon berkesinambungan dari Black Shark 2, iaitu Black Shark 3. Telefon pintar ini dijangka bakal dilancarkan sekitar penghujung Mac tahun ini.

Berikutan itu, pelbagai maklumat mengenai telefon pintar permua ini telah mula tertiris di media dalam talian. Antara yang dilaporkan, Black Shark 3 bakal menampilkan paparan HD+ Kuad (QHD+) dengan kadar segar semula skrin 120Hz.

Xiaomi juga dikhabarkan menyediakan pilihan kepada pengguna untuk memilih kadar segar semula di antara 60Hz, 90Hz dan 120Hz. Bagi pengguna yang mementingkan tempoh penggunaan bateri yang lebih panjang, pilihan lebih sesuai pastinya pada kadar 60Hz berserta pilihan antara kualiti paparan FHD atau QHD.

Selain Xiaomi, beberapa pengeluar lain turut dijangka melancarkan telefon pintar dengan paparan 120Hz buat julung kalinya. Pengeluar seperti OnePlus, Samsung dan Apple turut dilaporkan sedang mengusahakan paparan 120Hz untuk digunakan pada telefon pintar mercu keluaran akan datang masing-masing.

Berbalik kepada Xiaomi Black Shark 3, khabar angin sebelum ini mengatakan telefon pintar permua ini akan dilengkapkan dengan RAM 16GB bersama-sama sokongan rangkaian 5G. Ia juga dikatakan bakal menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 865 dengan sistem penyejukan yang lebih cekap. Lain-lain spesifikasi bagaimanapun masih lagi belum diketahui.

Sumber berita diperoleh dari Fonearena

Tinggalkan komentar