Infinix Mobile Malaysia telah melancarkan siri telefon pintar baharunya di Malaysia, Infinix HOT 30 yang terdiri daripada empat model iaitu HOT 30, HOT 30i, HOT 30i NFC dan HOT 30 Free Fire.
Infinix HOT 30 menampilkan skrin LCD 6.78-inci 90Hz beresolusi 1080 x 2460 piksel. Paparan berkenaan juga mempunyai kadar pensampelan sentuhan 270Hz dan kecerahan maksimum 600 nits.
Di dalamnya, telefon pintar ini menggunakan pemprosesan MediaTek Helio G88 bersama-sama RAM 8GB dan storan 256GB. Baterinya yang berkapasiti 5,000mAh ini turut menyokong pengecasan pantas 33W.
Untuk pengimejan, HOT 30 menampilkan kamera utama 50MP dengan sensor bersaiz 1.2/55-inci dan kamera hadapan 8MP. Lain-lain ciri yang disediakan termasuklah bicu audio 3.5mm, sistem operasi Android 13, dan dwi SIM. Pada harga jualan RM599, HOT 30 ditawarkan dengan pilihan warna Racing Black, Surfing Green dan Sonic White.
Harga Infinix HOT 30i di Malaysia
Manakala HOT 30i pula, ia dilengkapkan dengan skrin LCD 6.56-inci 90Hz beresolusi 720 x 1612 piksel, kadar pensampelan sentuhan 180Hz dan kecerahan maksimum 500 nits. Di dalamnya ia menggunakan pemprosesan Unisoc T606, RAM 4GB, storan 128GB dan bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan 18W.
Lain-lain spesifikasi pada telefon pintar ini termasuklah bicu audio 3.5mm, pengimbas cap jari pada bahagian sisi, kamera utama 13MP, kamera hadapan 8MP dan pilihan warna sama ada Mirror Black, Glacier Blue atau Diamond White. HOT 30i berharga RM399.
Infinix HOT 30 Free Fire
Seterusnya HOT 30 Free Fire didatangkan di dalam kotak khas yang mengandungi gelang kunci Free Fire, selongsong khas Free Fire dan sebentuk medal yang berperanan sebagai pin pembuka slot SIM. Sesuai dengan namanya, model ini merupakan kolaborasi istimewa dengan permainan mudah alih Free Fire dan ia turut disertakan dengan 46 wijet tersuai, ikon-ikon, hiasan latar belakang dan juga bunyi kesan khas berasaskan permainan tersebut.
Infinix Mobile Malaysia turut mengumumkan promosi jualan pertama siri HOT 30 akan diadakan dari 14 hingga 17 April 2023 menerusi Shopee dan Lazada. Promosi ini akan memberikan penjimatan harga untuk HOT 30 yang dijual pada harga RM549 dan HOT 30i pada harga RM349. Untuk HOT 30 Free Fire, anda boleh mendapatkannya menerusi Lazada pada harga RM599 sehingga stok masih ada.
HOT 30 Free Fire juga boleh didapati pada harga RM549 sepanjang tempoh promosi jualan pertama bermula dari 14 hingga 17 April 2023. Bagi anda yang mendapatkannya dari Lazada dan Shopee, anda juga ditawarkan dengan penghantaran percuma. Pembelian menerusi LazMall pula akan layak menerima pulangan tunai sebanyak 15% berdasarkan terma dan syarat.
Maklumat lanjut, layari laman web rasmi Infinix Mobile Malaysia













