Hampir setahun sejak Samsung memperkenalkan telefon pintar boleh lipatnya, Galaxy Z Flip 3 pada acara Unpacked pada tahun lepas. Ini bermakna pelancaran Galaxy Z Flip 4 kian hampir.
Menjelang kehadirannya yang dijangka dalam tempoh terdekat ini, imej pengolokan yang didakwa sebagai telefon pintar tersebut telah mula tertiris. Sekilas pandang, model yang akan datang ini kelihatan tidak jauh beza dengan model yang terdahulu.
Imej pengolokan Galaxy Z Flip 4 telah dikongsikan di dalam talian oleh pentiris maklumat tegar, Steve Hemmerstoffer dari 91Mobiles. Menurut beliau, telefon ini menampilkan paparan boleh lipat 6.7-inci cuma dibezakan dari segi ukuran termasuk ketebalannya dengan Galaxy Z Flip 3.
Dikatakan, Galaxy Z Flip 4 mempunyai ukuran iaitu 165.1 x 71.9 x 7.2mm, manakala Z Flip 3 pula apabila dibuka lipatannya berukuran 166 x 72.2 x 6.9mm.
Lain-lain dari itu, segalanya kelihatan sama pada Galaxy Z Flip 4 dengan dwi-kamera utama bersekali dengan paparan kedua pada sebelahnya. Kemungkinan besar Samsung menumpukan penambahbaikan dari segi kelasakan dan kemasannya kelak.
Seperti biasa, desas-desus ini masih lagi belum dapat disahkan kesahihannya selagi tidak menerima maklumat rasmi dari pihak Samsung. Dijangkakan lebih banyak maklumat mengenainya akan hadir menjelang pelancarannya.













