Microsoft telah mula memasukkan notifikasi iklan promosi pada build terkini Windows 11 yang buat masa ini masih di peringkat Beta. Ini secara tidak langsung menunjukkan pengiklanan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Iklan promosi berkenaan adalah mengenai intergrasi aplikasi Microsoft Teams dengan Windows 11. Bagaimanapun, iklan tersebut didapati telah menyebabkan menu Start dan Taskbar langsung tidak berfungsi pada desktop.

Microsoft kemudiannya telah menerbitkan pembaikan tersebut kepada mana-mana pengguna yang terkesan. Menurutnya, masalah tersebut disebabkan oleh pelaksanaan di peringkat pelayan mereka.

Pengguna Windows 11 Insider yang mengalami masalah tersebut boleh melakukan langkah pembaikan seperti berikut:

  1. Buka Task Manager melalui kekunci pintas CTRL-ALT-DEL
  2. Pilih “More details” di bahagian bawah Task Manager untuk memperluaskannya
  3. Pergi ke “File” dan pilih “Run new task”.
  4. Taipkan “cmd” di dalam ruangan “Open”
  5. Salin dan tampalkan teks berikut:
    reg delete HKCU\SOFTWARE\Microsoft\Windows\CurrentVersion\IrisService /f && shutdown -r -t 0
  6. Tekan ‘Enter’ dan PC anda akan restart. Selepas restart, PC anda sepatutnya kembali normal.

Terdapat juga sesetengah pengguna yang terkesan membaikinya sendiri dan berkongsikan langkah pembaikan menerusi Twitter dan Reddit. Kebanyakan langkah membaiki yang dibuat melibatkan penutupan akses dari PC ke pelayan Microsoft.

Punca masalah menu Start dan Taskbar Windows 11 tergendala

Masalah yang berlaku ini dikatakan berpunca dari sebuah fail kecil yang dimuat turun oleh salah satu komponen Windows bernama IrisServiceIris merupakan sebahagian dari Windows Spotlight yang membawakan wallpaper harian pada Bing, cadangan imej untuk lock screen dan sebagainya.

Jika diperincikan lagi, masalah ini datangnya dari registry key yang mengandungi kod JSON bersiri yang mengandungi iklan untuk Microsoft Teams.

Mesej teks dan imej dari iklan tersebut mirip dengan panel paparan akaun Windows yang masih belum membuat tetapan dengan Teams. Hal ini seterusnya telah membuatkan menu Start dan Taskbar berkenaan tergendala.

Windows 11 akan mula ditawarkan kepada PC baharu dan lama bermula 5 Oktober ini secara rasminya. Hanya PC-PC yang memenuhi keperluan spesifikasi minimum sahaja boleh menerima naik taraf secara automatik melalui Windows Update.

Tinggalkan komentar