Syarikat-syarikat gergasi teknologi global kebelakangan ini sering menerima kecaman gara-gara tindakan-tindakan yang dianggap tidak wajar yang dilakukan seperti pemberhentian pekerja beramai-ramai, penutupan studio-studio kecil naungan, serta tidak menghargai hasil usaha para pekerja-pekerjanya dan lebih mengutamakan penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
Ironinya, perkembangan terkini tersebut kelihatan telah diterjemahkan dalam bentuk video iklan baharu yang diterbitkan oleh Apple bersempena pelancaran siri iPad Pro baharunya. Iklan tersebut yang bertajuk “Crush!” menunjukkan pelbagai barangan seperti alat muzik, bekas-bekas cat, televisyen, dan karya-karya seni lain diletakkan di bawah alat pemampat hidraulik.
Bagi anda yang sering mengikuti media sosial, anda pasti mengetahui apakah yang bakal terjadi seterusnya. Barangan-barangan tersebut kemudiannya dimampatkan sehingga leper dan pada akhir video akan menunjukkan sebuah produk akan muncul, “iPad Pro”.
Niat asal video tersebut mungkin ingin menunjukkan kandungan hiburan dan media yang lebih besar bentuk fizikalnya dapat dimuatkan ke dalam iPad Pro yang lebih nipis. Namun, apa yang dilihat oleh kebanyakan netizen adalah simbol syarikat-syarikat gergasi memerah hasil jerih-perih pengkarya dan pekerja demi menghasilkan sesebuah produk yang memenuhi kehendak budaya konsumerisme.
Meet the new iPad Pro: the thinnest product we’ve ever created, the most advanced display we’ve ever produced, with the incredible power of the M4 chip. Just imagine all the things it’ll be used to create. pic.twitter.com/6PeGXNoKgG
— Tim Cook (@tim_cook) May 7, 2024
Ruangan komentar untuk video iklan yang dimuatnaik di laman Youtube telah ditutup dan kesan kemarahan majoriti warga maya tidak dapat dilihat di dalamnya. Bagaimanapun, kenyataan susulan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple Tim Cook di X (dahulu dikenali sebagai Twitter) menerima pelbagai kritikan gara-gara video iklan tersebut.
Jika hasrat video iklan tersebut dihasilkan supaya menjadi “viral”, dengan perkembangan terbaru tersebut, ia nampaknya amat berhasil.