IKEA Malaysia telah mengumumkan perkhidmatan membeli-belah dalam taliannya dan penghantaran akan diteruskan semula selepas mendapat kebenaran dari pihak berkuasa.
Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), IKEA akan melaksanakan penghantaran tanpa sentuhan untuk kesemua penghantarannya. Garis panduan penghantaran juga telah dikemaskini bagi memastikan warga kerjanya mematuhi langkah-langkah keselamatan dan kesihatan.
Menurut IKEA, keutamaannya buat masa ini adalah meneruskan kembali penghantaran pesanan yang telah dibuat sebelum 27 April. Pihaknya juga akan menghubungi pelanggan yang terkesan dari kelewatan ini.
Bagaimanapun, IKEA menjelaskan khidmat pemasangan tidak dibenarkan atas sebab perlindungan kesihatan, serta tidak mengambil risiko terhadap kesihatan para pelanggannya. Pihak IKEA juga akan merujuk kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan nasihat berkenaan cadangan pemasangan tanpa sentuhan yang menepati garis panduan PKP.
Garis panduan penghantaran terbaru IKEA menetapkan kakitangannya menjalani pemeriksaan suhu di gudang-gudangnya. Serta wajib memakai topeng muka dan sarung tangan pada setiap masa.
Pekerja penghantaran juga perlu melakukan sanitasi pada tangan mereka sebelum memasuki kediaman pelanggan. Selain itu, pelanggan juga perlu memaklumkan lokasi untuk kakitangan penghantaran meletakkan barangan yang dipesan.
Kedai-kedai jualan IKEA di seluruh Malaysia masih lagi ditutup sepanjang tempoh PKP ini. Hanya restorannya sahaja dibuka untuk tujuan makan bungkus atau pesanan penghantaran.
Kesemua produk-produk IKEA kini boleh dipesan melalui gedung dalam taliannya.













