Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) baru-baru ini telah menjawab pertanyaan mengenai hukum menggunakan Shopee Pay Later menerusi laman web rasminya.
Pertanyaan ini hadir dari orang awam berikutan peningkatan jumlah perkhidmatan ‘beli dulu bayar kemudian’ (Buy Now Pay Later, BNPL). Antara yang popular di pasaran tempatan buat masa ini ialah Shopee Pay Later atau SpayLater dari Shopee.
Menurut PMWP melalui Irsyad Fatwa di laman web rasmi berkenaan, terdapat beberapa isu syariah yang timbul melibatkan caj pemprosesan dan caj lewat bayar di dalam sistem tersebut iaitu:
1. Bagi kaedah pembayaran secara one-off dalam tempoh sebulan, tiada isu syariah padanya sekiranya pembayaran diselesaikan dalam tempoh sebulan sepertimana yang ditetapkan. Sebaliknya, sekiranya pelanggan lewat menyelesaikan bayaran dan dikenakan caj lewat bayar, maka berlakulah riba yang diharamkan Syarak.
2. Bagi kaedah pembayaran secara ansuran pula, terdapat dua isu Syariah padanya melibatkan caj pemprosesan dan caj lewat bayar. Hal ini kerana setiap caj pemprosesan dan caj lewat bayar yang dikenakan melebihi kos operasi dan kerugian sebenar adalah sebahagian daripada riba.
Isu syariah yang timbul daripada kaedah ini adalah pada caj pemprosesan dan caj lewat bayar. Kedua-dua ini menurut PMWP mempunyai unsur-unsur riba.
Walaubagaimanapun, untuk pembayaran secara one-off yang diselesaikan dalam tempoh sebulan tidak mempunyai unsur riba dan boleh digunakan.
Di dalam agama Islam, riba adalah perkara yang diharamkan dan berdosa besar jika terlibat dengannya.













