Huawei buat masa ini masih lagi tidak dapat mengakses ke Google Mobile Services (GMS), dan pengeluar telefon pintar dan telekomunikasi dari China ini terpaksa menghasilkan sendiri perkhidmatannya melalui Huawei Mobile Services (HMS) dan gedungnya sendiri, AppGallery. Lanjutan dari itu, Huawei kini turut membangunkan aplikasi cariannya sendiri dan bakal dinamakan sebagai Huawei Search.

XDA melaporkan Huawei sedang mencari pengguna-pengguna perintis dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menjalankan pengujian aplikasi carian berkenaan. Aplikasi berkenaan kelihatan dibina secara asasnya dari Android, namun dibezakan dari beberapa sudut utama.

Antaranya, Huawei Search adalah aplikasi carian yang amat asas tanpa integrasi dengan aplikasi lain seperti yang dilakukan oleh Google Search yang berintegrasi dengan Google Assistant, Google Lens, dan sebagainya. Fungsi carian-carian berasaskan kata kunci boleh digunakan seperti aplikasi carian lain secara umumnya.

Aplikasi carian ini juga mencontohi cara Google seperti memaparkan keadaan cuaca semasa berdasarkan lokasi pilihan. Cumanya, maklumat kajicuaca yang diperolehinya berdasarkan dari Huafeng-AccuWeather, usaha-sama diantara AccuWeather dengan Pentadbiran Kajicuaca China.

Beberapa perkara masih lagi belum diketahui mengenai aplikasi carian Huawei ini seperti enjin carian yang digunakan olehnya. Setakat ini XDA masih lagi belum dapat memastikan enjin carian apa yang digunakan oleh aplikasi Huawei Search. Huawei juga masih belum mengumumkan sama aplikasi ini bakal hadir ke ekosistem lain selain dari ekosistem Huawei.

Sumber berita diperoleh dari XDA

Tinggalkan komentar