Huawei dilaporkan telah berjaya menghantar lebih dari 1 juta peranti dengan OS keluarannya sendiri, HongMeng. Menurut firma Rosenblatt Securities, peranti berkenaan digunakan untuk tujuan pengujian, namun tidak menjelaskan sama ada ia merupakan peranti sedia ada di pasaran atau produk untuk tujuan kajian pembangunan. Laporan berkenaan turut mendedahkan perisian buatan sendiri Huawei berkenaan serasi dengan semua aplikasi Android dan telah “dipertingkatkan ciri keselamatannya untuk perlindungan data peribadi”.
Laman web China Daily memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Perniagaan Pengguna Huawei, Yu Chengdong (juga dikenali sebagai Richard Yu), memaklumkan sistem operasi berkenaan akan tersedia “seawal musim luruh ini atau musim bunga tahun depan”. Sistem operasi berkenaan juga sudah tersedia untuk dipasangkan pada telefon bimbit, komputer, tablet, TV, kereta, peranti boleh-pakai dan segala peranti yang boleh dipasangkan sistem operasi.
Sungguh Amerika Syarikat telah menangguhkan sekatan perdagangan terhadap Huawei sehingga 90 hari bermula dari 20 Mei lalu, pengeluar yang berpangkalan di Shenzhen ini tidak bercadang untuk menunggu lama dan sudah bergerak ke arah pelaksanaan OS sendirinya. Huawei Central, sebuah laman web yang melaporkan kebanyakan berita dari gergasi teknologi dari China berkenaan, melaporkan bahawa tanda dagangan “HongMeng” sudah didaftarkan di pelbagai rantau dan negara, seperti Kanada, Eropah, Korea Selatan dan Mexico.
Nama HongMeng kedengaran agak luar biasa, oleh itu diharapkan Huawei boleh mendapatkan nama lain untuk OS berkenaan yang lebih sesuai dengan pasaran antarabangsa.
Sumber berita diperoleh dari China Daily













