Sebagaimana yang telah dijanjikan, Huawei kini secara rasminya telah melancarkan telefon pintar Huawei P30 dan P30 Pro. Kedua-dua buah telefon pintar model terbaru keluaran Huawei ini menggunakan cipset Kirin 980.
Oleh kerana telefon pintar Huawei dari siri P memfokuskan kepada fotografi, pastinya P30 dan P30 tidak terkecuali dalam hal ini. Melalui kerjasama dengan Leica, kamera utama P30 Pro menampilkan tetapan kamera-kamera berikut, iaitu; sebuah kamera 40MP bersudut luas 27mm f/1.6 bersama-sama 20MP bersudut luas ultra 16mm f/2.2 dan sebuah kamera telefoto 8MP 5x 125mm f/3.4.
Selain dari keupayaan 5x zum optikal, kamera telefoto P30 Pro yang berbentuk seakan-akan periskop ini juga mampu melakukan zum lebih jauh melalui ciri zum hibrid 10x bersama-sama zum digital 50x. Huawei juga menyertakan penstabil imej optikal pada kamera utama dan juga telefoto P30 Pro.
Juga, kamera ‘Time-of-Flight’ turut ditambah ke P30 Pro sebagai penderia kedalaman untuk membantu meningkatkan keupayaan imej bokeh untuk telefon pintar berkenaan. Kamera utama untuk P30 Pro juga mampu mencapai tetapan ISO setinggi 409,660 dan mengambil gambar makro dengan jarak terhampir 2.5 cm. P30 Pro juga menawarkan fungsi khusus padanya dengan mod penggambaran video yang dikenali sebagai ‘Dual-View Mode’ yang membolehkan pengguna menggunakan dua kamera di bahagian belakang secara serentak.
Kamera-kamera untuk Huawei P30
Untuk model Huawei P30 pula, ianya hadir dengan kamera belakang dengan tetapan kamera-kamera berikut; sebuah kamera bersudut luas 40MP 27mm f/1.8 bersama-sama dengan kamera bersudut ultra luas 16MP 17mm f/2.2 dan kamera telefoto 8MP 3x 80mm f/2.4.
Sungguhpun P30 sekadar dilengkapi dengan kamera telefoto konvensional untuk telefon pintar, ianya berkeupayaan melakukan zum sehingga 5x melalui zum hibrid dan juga sehingga 30x melalui zum digital. Sistem kamera belakang P30 juga mampu menyokong tahap ISO sehingga 204,800.
Untuk kamera swafoto, kedua-dua model telefon pintar ini menawarkan sebuah kamera 32MP f/2.0.
Skrin P30 Pro dilengkapkan dengan paparan OLED 6.47-inci Full HD+. Manakala P30 pula, walaupun paparannya sedikit kecil pada 6.1-inci, ianya menawarkan ciri yang sama seperti P30 Pro.
Bergantung dengan di mana ianya bakal dipasarkan nanti, kedua-dua telefon pintar ini boleh didapati dengan pilihan RAM sehingga 8GB. Bagaimanapun, untuk storan pula, P30 hanya menawarkan kapasiti setinggi 128GB sahaja. Manakala untuk P30 Pro ia ditawarkan sehingga 512GB.
Bagi kapasiti bateri pula, Huawei P30 Pro hadir dengan bateri berkapasiti 4,200mAh dan untuk P30 pula, baterinya berkapasiti 3,650mAh. Fungsi pengecasan tanpa wayar dan pengecasan tanpa wayar berbalik pula bagaimanapun hanya ditawarkan untuk P30 Pro.
Harga untuk P30 Pro dengan konfigurasi 8GB/128GB dijual pada harga €999 (lebih kurang RM4605). Manakala untuk variasi 8GB/256GB dan 8GB/512GB pula masing-masing dijual €1,099 (lebih kurang RM5,066) dan €1,249 (lebih kurang RM5,758). Untuk P30 yang dijual dengan pilihan 6GB/128GB dijual pada harga €799 (lebih kurang RM3,683).
Huawei P30 dan P30 Pro dilancarkan di seluruh dunia bermula sejak semalam dan dijangkakan mula memasuki ke pasaran-pasaran di seluruh dunia bermula sekitar April ini.
Spesifikasi Huawei P30 Pro
- Paparan OLED 6.47-inch FHD+ OLED, resolusi 2340 x 1080p, DCI-P3 HDR
- HiSilicon Kirin 980 2.6GHz lapan teras (Dwi NPU)
- 2 x Cortex-A76 Based 2.6 GHz+ 2 x Cortex-A76 Based 1.92 GHz + 4 x Cortex-A55 1.8 GHz
- RAM 8GB
- Storan 128GB/256GB/256GB
- Dwi kad SIM dengan kad NM
- Dwi 4G VoLTE
- 40MP f/1.6 OIS RYYB (pertama di dunia) + 20MP f/2.2 bersudut ultra luas + kamera periskop 8MP f/2.4 w/ 5x (5X Zum Optikal, Zum Hibrid 10x, Zum Digital 50X ) dan teknologi ‘Time-of-Flight’
- Dwi OIS (lensa utama OIS + telefoto OIS)
- ISO 409600, Mod Malam Profesional, Huawei AIS, AI HDR+
- Mod ‘Dual-View’ Video (rakaman video bersudut luas dan pandangan rapat)
- kamera swafoto 32MP
- Wi-Fi 802.11a/b/g/n/ac (2.4GHz, 5GHz)
- Bluetooth 5.0, BLE, SBC, AAC, aptX, aptX HD, LDAC, HWA Audio
- GPS/ A-GPS/ Glonass/ BeiDou/ Galileo/ QZSS
- NFC
- USB Type-C
- ketahanan air dan debu IP68
- Pembesar suara Dolby Atmos
- Pengimbas cap jari dalam skrin (Generasi Baru)
- EMUI 9.1 (Android 9 Pie)
- Bateri 4,200mAh berteknologi Super Charge 40W, Pengecasan Pantas Tanpa Wayar 15W, Pengecasan Tanpa Wayar Berbalik
- 192g
- Pilihan Warna – Breathing Crystal, Amber Sunrise, Pearl White, Classic Black, Aurora
Spesifikasi Huawei P30
- Paparan OLED 6.1-inci 19.5 FHD+ OLED resolusi 2340 x 1080px, DCI-P3 HDR
- HiSilicon Kirin 980 2.6GHz lapan teras (Dwi NPU)
- 2 x Cortex-A76 Based 2.6 GHz+ 2 x Cortex-A76 Based 1.92 GHz + 4 x Cortex-A55 1.8 GHz
- RAM 6GB
- Storan 128GB
- Dwi kad SIM dengan kad NM
- Dwi 4G VoLTE
- 40MP f/1.8 + 16MP f/2.2 bersudut ultra luas + 8MP f/2.4 (Zum Optikal 3, zum hibrid sehingga 5X, Zum Digital 30X)
- ISO 204,800, Professional Night Mode, Huawei AIS
- Mod video ‘Dual-View’ (rakaman video sudut luas dan pandang rapat)
- kamera swafoto 32MP
- Wi-Fi 802.11a/b/g/n/ac (2.4GHz, 5GHz)
- Bluetooth 5.0, BLE, SBC, AAC, aptX, aptX HD, LDAC, HWA Audio
- GPS/ A-GPS/ Glonass/ BeiDou/ Galileo/ QZSS
- NFC
- USB 3.1 Type-C Gen 1
- ketahanan air dan debu IP53
- bicu audio 3.5mm
- Pembesar suara Dolby Atmos
- Pengimbas cap jari dalam skrin (Generasi Baru)
- EMUI 9.1 (Android 9 Pie)
- Bateri 3,650mAh dengan teknologi SuperCharge 40W
- 165g
- Pilihan warna – Breathing Crystal, Amber Sunrise, Pearl White, Classic Black, Aurora













