Hujung Ogos lalu, Huawei telah melancarkan telefon pintar andalannya yang baharu Mate 60 dan Mate 60 Pro. Kini, tiba pula giliran telefon pintar boleh lipat Huawei Mate X5 diperkenalkan. Ia merupakan kesinambungan dari Mate X3 yang dilancarkan pada awal tahun ini. Dari segi perbezaan, X5 tidak jauh dengan model sebelumnya terutama spesifikasi dan reka bentuknya.
Huawei Mate X5 mempunyai skrin luaran 6.4-inci dan skrin dalaman 7.85-inci yang menggunakan panel OLED 120Hz dan dilindungi oleh Kunlun Glass.
Tidak dinyatakan apakah pemprosesan yang digunakannya dan sebelum ini ura-ura mengatakan ia menggunakan pemprosesan buatan sendiri Huawei Kirin 9000S, sama seperti yang digunakan pada Mate 60 Pro.
Ia digandingkan dengan RAM sehingga 16GB dan storan dalaman sehingga 1TB. Telefon pintar ini boleh diperluaskan kapasiti storannya melalui kad memori NM Huawei.
Untuk fotografinya, Mate X5 mempunyai tri-kamera dengan kamera utama 50MP, ultra-lebar 13MP dan telefoto 12MP dengan OIS dan zum optikal 5X. Pada paparan dalamannya pula terdapat satu kamera 8MP. Bateri untuk telefon pintar boleh lipat Huawei ini berkapasiti 5,060mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W.
Mula dijual di China pada 15 September, harga untuk Huawei Mate X5 ini masih lagi belum diumumkan. Sebagai perbandingan, Huawei Mate X3 sebelum ini dijual pada harga RM8,888 ketika dilancarkan. Setakat ini tidak diketahui sama ada Huawei Mate X5 akan memasuki pasaran Malaysia atau tidak.













