Huawei baru-baru ini telah mengumumkan Mate 40 Pro bakal dilancarkan di Malaysia pada 12 Disember ini. Pertama kali diumumkan di peringkat global pada Oktober lalu, telefon pintar ini merupakan peranti mercu terbaru keluaran Huawei.
Dikuasakan oleh cipset 5nm buatan Huawei sendiri iaitu Kirin 9000, telefon pintar ini turut dilengkapkan dengan modem 5G Balong 5000. Untuk paparannya, Mate 40 Pro menyediakan skrin OLED 6.76-inci dengan resolusi natif 2772 x 1344, kadar penyegaran semula 90Hz dan pelengkungan 88-darjah di kedua-dua sisinya.
Menurut laman web rasmi Huawei Malaysia, variasi untuk pasaran tempatan ini menampilkan RAM 8GB dan storan dalaman 256GB yang boleh diperluaskan melalui kad Huawei Nano Memory.
Untuk fotografi telefon pintar ini, Mate 40 Pro menyediakan lensa utama 50MP f/1.9, lensa bersudut luas 20MP f/1.8 dan lensa telefoto 10MP yang mampu mengezum sehingga 10x hibrid dan 50x untuk zum digital. Kamera utama yang direka bersama rakan kamera Huawei, Leica ini juga menyediakan penderia berlaser bagi meningkatkan keupayaan auto-fokusnya. Bagi kamera hadapan pula, ditempatkan kamera swafoto 13MP bersama-sama kamera berkedalaman 3D.
Melengkapkan spesifikasi telefon pintar ini, Mate 40 Pro mempunyai bateri berkapasiti 4,400mAh yang menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge 66W untuk jenis berwayar dan 50W untuk nirwayar.
Huawei Mate 40 Pro bakal menemui pengguna-pengguna di Malaysia pada harga RM4,299 bermula 12 Disember ini. 1000 pembeli terawal berpeluang untuk menerima hadiah percuma berupa Huawei Sound X, berserta langganan percuma untuk Huawei Video, Huawei Book dan storan awanan 50GB.
Kunjungi laman rasmi Huawei Malaysia untuk maklumat lanjut.













