Huawei telah mengumumkan telefon pintar Mate 30 Pro 5G akan memasuki pasaran Malaysia pada 7 Februari 2020. Pengumuman ini adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan kerana rangkaian 5G di Malaysia pada ketika ini masih lagi belum disediakan untuk kegunaan umum.
Sungguhpun rangkaian 5G dijangkakan mampu disediakan di Malaysia sekitar suku ketiga tahun 2020, syarikat telekomunikasi utama di Malaysia seperti Celcom, Maxis, U Mobile dan Digi akan mula menawarkan telefon pintar terbaru Huawei ini pada 7 Februari.
Dikuasakan oleh cipset keluaran Huawei sendiri, Kirin 990 5G, Mate 30 Pro 5G mampu menyokong sambungan 5G Standalone (SA) dan juga Non-Standalone (NSA). Dilaporkan, Projek Demonstrasi 5G di Langkawi turut menggunakan telefon pintar model berkenaan untuk tujuan pengujian.
Mate 30 Pro 5G hadir dengan konfigurasi RAM 8GB dan storan dalaman 256GB pada harga saranan bermula dari RM 4,199. Setiap pembelian bakal menerima pengecas nirwayar dalam kereta bersama-sama waranti lanjutan 1-tahun.













