Huawei telah memintas kedudukan Apple sebagai pengeluar telefon pintar kedua paling laris sepanjang tahun 2019. Berdasarkan laporan dari Strategy Analytics, Counterpoint Research, dan Canalys, pengeluar berpangkalan di China ini telah berjaya menjual sejumlah 240 juta unit telefon.

Walaubagaimanapun, tempat pertama masih lagi dihuni oleh Samsung yang telah mencatatkan jumlah jualan sebanyak 300 juta unit sepanjang tahun 2019. Apple pula yang kini berada di tempat ketiga telah mencatatkan jumlah jualan sebanyak 198 juta unit.

Xiaomi dan Oppo pula menghuni di tangga keempat dan kelima dengan jumlah jualan masing-masing dicatatkan sebanyak, 125.5 juta unit dan 120.2 juta unit.

Lonjakan ini agak mengejutkan kerana ia berlaku di dalam keadaan Huawei berdepan dengan sekatan perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Keadaan ini telah menyebabkan Huawei tidak boleh mendapatkan akses ke perkhidmatan Google seperti Google Mobile Services. Justeru, menyebabkan Huawei terpaksa mencari alternatif lain termasuk mewujudkan ekosistem peranti mudah alih terbaru yang dikenali sebagai Huawei Mobile Services untuk Huawei Mate 30 dan Mate 30 Pro.

Bagaimanapun, kesan daripada sekatan yang telah dikenakan oleh A.S. ini masih lagi ada. Tidak dapat dipastikan bagaimana situasi Huawei pada tahun ini bakal memberi kesan terhadap kadar pengeluaran telefon pintarnya.

Sungguhpun kedudukan Apple telah dipintas pada tahun 2019, jumlah jualan Apple pada suku keempat 2019 telah menunjukkan peningkatan mendadak. Antara yang memberikan kesan penambahan tersebut adalah hasil dari pengenalan iPhone 11 yang telah diperkenalkan sekitar September tahun lalu.

Samsung pula dijangka mampu melonjakkan jumlah jualannya pada awal tahun ini dengan melancarkan telefon pintar mercu terbarunya, siri Galaxy S20 bulan depan.

Apple pula dari segi sudut lain juga bakal meningkatkan jumlah jualannya melalui pengenalan model pengganti kepada iPhone SE. iPhone versi harga mampu milik ini dijangka bakal menerima sambutan yang baik di pasaran-pasaran seperti di India, Afrika dan Asia Tenggara.

Walaupun terdapat sedikit peningkatan jualan berdasarkan pengeluar, ketiga-tiga laporan tersebut bagaimanapun bersetuju jumlah jualan telefon pintar untuk tahun 2019 secara keseluruhannya mencatatkan penurunan. Counterpoint Research menyatakan penurunan untuk dua tahun berturut-turut ini merupakan pertama kali berlaku di dalam pasaran telefon pintar.

Sumber berita diperoleh dari Strategy AnalyticsCounterpoint Research, dan Canalys

 

Tinggalkan komentar