Dalam landskap perniagaan dan pekerjaan yang serba dinamik kini, penggunaan teknologi terus berkembang dan membawa impak ke segenap aspek sesebuah organisasi. Satu bahagian yang telah menyaksikan penerimaan dan inovasi yang luar biasa ialah sumber manusia, yang berfungsi sebagai tulang belakang kepada mana-mana organisasi yang berjaya.
Sumber manusia sering kali dilihat sebagai salah satu fungsi pentadbiran sebuah organisasi. Ia telah melalui transformasi digital yang paling ketara, merevolusikan cara sesebuah organisasi mengurus tenaga kerja mereka. Pengambilan pekerja, sesi suai tugas, senarai gaji serta prosedur sumber manusia yang lain telah melalui proses pendigitalan, membolehkan organisasi melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan.
Walau bagaimanapun, pada pendapat saya, ianya tidak mencukupi jika kita sekadar mendigitalkan proses sumber manusia, terutamanya dalam landskap yang berkembang pesat hari ini. Untuk memanfaatkan teknologi sepenuhnya dan menangani kerumitan operasi sumber manusia yang semakin meningkat, organisasi perlu mula menggabungkan elemen automasi ke dalam teknologi sumber manusia mereka. Dengan langkah ini, mereka boleh mendapat pelbagai manfaat, melangkaui peningkatan kecekapan. Teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin (ML) dan analisis data telah memberi laluan untuk amalan sumber manusia pintar yang berasaskan data.
Memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kecekapan dan ketepatan operasi sumber manusia

Proses sumber manusia automatik mengubah cara organisasi mengendalikan tugas selain menawarkan pelbagai kelebihan lain. Dengan teknologi terkini, tugas-tugas yang perlu dilakukan secara manual, seperti kemasukan data dan kira-kira, dikendalikan oleh perisian canggih yang boleh mengelakkan kesilapan serta memastikan ketepatan dan konsistensi.
Walaupun tugas-tugas sumber manusia didigitalkan dan disimpan pada komputer, penglibatan manusia masih lagi penting. Tambahan pula, kitalah yang bertanggungjawab untuk memberi arahan dan mengurus sistem-sistem ini. Namun inilah kelebihannya: sistem automatik direka untuk menghapuskan tugas manual yang membosankan dan berulang-ulang serta mengurangkan kemungkinan ralat yang disebabkan oleh keletihan atau masalah hilang tumpuan. Dengan ini, saya percaya bahawa kakitangan sumber manusia boleh memanfaatkan masa mereka untuk tugasan lain sekaligus membawa tahap ketepatan dan kebolehpercayaan baharu dalam operasi yang lebih meluas.
Tidak lagi terikat dengan tugasan remeh, kakitangan sumber manusia kini boleh memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar penting – ‘sentuhan manusia’. Mereka bukan lagi sekadar pengendali kemasukan data; mereka kini merupakan arkitek untuk merangka pengalaman pekerja yang luar biasa! Dengan sistem automatik mengambil alih tugas-tugasan yang berulang, organisasi kini boleh menumpukan sepenuh perhatian dalam memupuk hubungan antara tenaga kerja, memupuk bakat, dan mewujudkan persekitaran kerja yang menerapkan nilai empati dan kerjasama.
Teknologi sumber manusia untuk menganalisis maklumat bagi membuat keputusan
Sistem pengurusan sumber manusia automatik boleh memudahkan operasi yang efisien dengan menyediakan satu platform terpusat untuk menguruskan pelbagai fungsi sumber manusia. Dengan menyatukan data pekerja, dokumentasi dan aliran proses kerja dalam satu platform, organisasi boleh mengakses maklumat dengan lebih cepat dan cekap. Pendekatan berpusat ini meminimumkan risiko fragmentasi maklumat dan meningkatkan integriti data. Kakitangan sumber manusia juga boleh mendapatkan semula rekod pekerja dengan mudah, mengurus cuti pekerja, menjana laporan gaji yang tepat dan memantau pematuhan terhadap undang-undang buruh — semuanya hanya dengan beberapa klik.
Salah satu ciri penting sistem sumber manusia automatik ialah fungsi laporan dan analisis. Keupayaan untuk menjana laporan komprehensif mengenai prestasi pekerja, kehadiran dan metrik sumber manusia lain yang berkaitan memperkasakan kakitangan sumber manusia untuk mengenal pasti arah trend dan bidang-bidang lain untuk penambahbaikan. Maklumat berasaskan data ini adalah penting dalam membuat keputusan bagi menyelaraskan strategi sumber manusia dengan matlamat organisasi yang lebih luas.
Bayangkan: dengan menganalisis data prestasi, unit sumber manusia boleh mengenal pasti pekerja cemerlang, meraikan pencapaian mereka dan memacu pertumbuhan kerjaya mereka. Unit sumber manusia juga boleh mendapatkan pemahaman mendalam tentang bidang yang mungkin memerlukan latihan atau sokongan tambahan dalam memastikan tiada pekerja yang ketinggalan di belakang.
Begitu juga dengan tahap kepuasan dan penglibatan pekerja — nadi kepada organisasi yang berkembang maju. Melalui analisis yang lebih mendalam, organisasi boleh mendapatkan keseluruhan maklumat mengenai kadar pusing ganti pekerja, mencari punca dan secara langsung menangani isu-isu yang timbul. Dengan maklumat ini, organisasi boleh melaksanakan strategi yang berkesan dalam langkah untuk mengekalkan pekerja, selain mewujudkan persekitaran kerja yang sesuai untuk pekerja kekal bermotivasi, puas hati dan teruja untuk terus menyumbang.
Teknologi sumber manusia melindungi maklumat pekerja yang sensitif
Sebagai tambahan kepada kecekapan dan ciri analitik, sistem sumber manusia automatik juga menangani masalah privasi dan keselamatan data. Dengan memanfaatkan automasi, syarikat boleh memastikan maklumat pekerja yang sensitif disimpan dengan selamat dalam pangkalan data yang disulitkan atau platform pengkomputeran awan.
Tambahan pula, sistem pengurusan sumber manusia automatik membolehkan organisasi menjejak penggunaan data melalui jejak audit terperinci. Jejak audit ini menyediakan rekod komprehensif tentang siapa yang mengakses dan mengubah suai data sumber manusia, bila ianya dilakukan serta dari peranti atau lokasi mana. Dengan mengekalkan log aktiviti data yang telus dan boleh dikesan, organisasi boleh mengesan dan menyiasat sebarang percubaan akses yang mencurigakan atau tidak dibenarkan dengan pantas. Tahap pemantauan dan akauntabiliti data ini meningkatkan keselamatan data secara keseluruhan dan mengukuhkan pematuhan terhadap peraturan privasi.
Selain itu, sistem automatik boleh membuat sandaran data secara berkala dan melaksanakan protokol pemulihan bencana, memastikan data sumber manusia kekal dilindungi sekiranya berlaku kegagalan sistem atau keadaan yang tidak dijangka.
Sinergi antara teknologi dan profesional sumber manusia

Dalam era yang serba pantas dan teknologi yang semakin canggih, ramai yang menganggap bahawa automasi adalah satu bentuk ancaman kepada sentuhan manusia. Bagi saya, automasi bukanlah untuk menggantikan kita; ianya wujud untuk memperkasakan kita semua. Saya melihat automasi sebagai pemangkin yang mampu mendorong kita untuk memainkan peranan masing-masing dengan lebih bagus, di mana kita boleh memberi fokus kepada tanggungjawab strategik dan nilai tambah. Malah, kami di Finworld juga turut terdorong untuk menceburi bidang automasi sumber manusia, dengan membangunkan platform teknologi sumber manusia kami sendiri yang dilancarkan pada 2023.
Dengan mengendalikan tugas-tugas yang berulang, perisian sebegini membolehkan kakitangan sumber manusia menumpukan perhatian mereka kepada perkara yang benar-benar penting: memupuk bakat dan penglibatan pekerja serta dan menggalakkan budaya keselamatan siber organisasi.
Masalahnya, apabila teknologi berkembang, begitu juga kaedah yang digunakan oleh individu-individu yang ingin mengeksploitasinya. Bagi saya, selain dari jabatan teknologi maklumat, kakitangan sumber manusia turut memainkan peranan penting dalam menjadikan keselamatan siber sebagai keutamaan organisasi. Mereka boleh menggalakkan pendekatan untuk mengutamakan keselamatan siber dalam organisasi, memastikan pekerja dilatih untuk berwaspada terhadap ancaman siber.
Dengan kepakaran mereka, kakitangan sumber manusia boleh memupuk persekitaran kerja yang kolaboratif dan dipacu teknologi. Mereka menjadi pemangkin kepada perubahan positif, memanfaatkan automasi dan teknologi untuk menyelaraskan proses sumber manusia, menambah baik pengalaman pekerja dan memacu kejayaan organisasi. Melalui pemahaman dan pengetahuan serta kemajuan teknologi, kakitangan sumber manusia boleh mencipta keseimbangan harmoni yang memaksimumkan kelebihan automasi sambil mengekalkan sentuhan manusia yang sangat penting dalam sumber manusia.










