Semua klinik dan hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menerima kaedah pembayaran secara tanpa tunai tidak berapa lama lagi. Berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha KKM Harjeet Singh bertarikh 21 Jun, perubahan ini akan berkuat kuasa bermula dari 1 Oktober 2022.
Beliau menjelaskan bayaran melalui kad debit, kad kredit dan e-dompet boleh diterima di semua fasiliti kesihatan kerajaan. Pihak kementerian juga mengarahkan semua jabatan kesihatan negeri untuk memastikan 95% daripada transaksi di klinik dan hospital kerajaan dijalankan secara tanpa tunai menjelang hujung tahun ini.
Kaedah pembayaran tanpa tunai ini dilaksanakan bagi tujuan:
- Mengurangkan risiko berlaku ketirisan wang awam
- Peningkatan kecekapan pengurusan terimaan hasil di kaunter yang lebih cepat, mudah dan selamat
- Pengurangan kos dan proses kerja dalam urusan kutipan hasil di peringkat pusat tanggungjawab
- Pengurangan risiko jangkitan Covid-19 di kaunter bayaran melalui platform tanpa sentuh.
Bagaimanapun, kaedah pembayaran secara tunai masih lagi dibenarkan bagi pesakit yang benar-benar tidak mempunyai pilihan pembayaran secara elektronik atau akaun bank.
Rancangan untuk mewujudkan kaedah pembayaran secara nirtunai ini sudah pun dimulakan sejak dari 2019. Ketika awal pengenalannya, pembayaran melalui Boost boleh diterima di beberapa kawasan rintis. Ia seterusnya diperluaskan ke 139 buah hospital, 144 buah klinik kesihatan dan empat buah institut kesihatan di seluruh negara.
Usaha ke arah tanpa tunai ini dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan sektor awam dengan Kementerian Kewangan pada tahun lalu mengumumkan menjelang 2022, kesemua perkhidmatan kerajaan akan dibuat secara tanpa tunai. Pada hujung 2020, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menyatakan hanya 60% dari kesemua transaksi kerajaan dilakukan menggunakan kaedah tanpa tunai.













