HONOR memaklumkan akan melancarkan siri X baharunya di Malaysia melalui HONOR X9d 5G. Diacah sebagai telefon pintar misteri pada bulan lepas, ia berkesinambungan dari X9c 5G yang dilancarkan pada November tahun lepas.

Dari segi luaran, HONOR X9d 5G kelihatan sama seperti telefon pintar misteri yang muncul di dalam filem Legasi: Bomba The Movie. Telefon pintar yang sama juga turut dilihat digunakan oleh Ben Amir ketika perarakan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelemat Malaysia pada sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya baru-baru ini.

Buat masa ini perincian mengenainya masih lagi belum didedahkan. Apa yang pasti, telefon pintar ini sekali lagi diketengahkan sebagai telefon pintar yang amat lasak, seiring dengan model-model sebelumnya.

Selain itu, HONOR juga mendakwa X9d mempertingkatkan lagi penanda aras dari segi ketahanan dan prestasinya. Telefon pintar ini juga menampilkan badan yang diperkasakan bersama-sama paparan ultra-kental generasi berikutnya. HONOR juga menjanjikan telefon pintar ini berkeupayaan di dalam berbilang tugasan bersama-sama bateri yang tahan lama.

Tidak dinyatakan bilakah tarikh sebenar pelancaran telefon pintar peringkat menengah ini ke pasaran Malaysia. HONOR hanya menyatakan ia akan tidak lama lagi dalam waktu yang terdekat ini. Dalam pada masa yang sama, anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut dan juga maklumat terkini, kunjungi laman web rasmi HONOR Malaysia dan juga halaman rasmi Facebook HONOR.

Tinggalkan komentar