Bersama-sama telefon pintar boleh lipat Magic V5, HONOR turut memperkenalkan HONOR Pad 10 5G. Tablet ini merupakan varian 5G untuk model dengan nama sama yang sebelum ini hanya model Wi-Fi sahaja dilancarkan pada Mei lalu.
Sama seperti model berkenaan, HONOR Pad 10 5G menawarkan paparan LCD IPS TFT 12.1-inci dengan resolusi 2,560 x 1,600 piksel. Ia didatangkan dengan antaramuka MagicOS 9.0 berasaskan Android 15 yang dilengkapkan dengan pelbagai alatan produktiviti AI, enam pembesar suara, serta kamera 8MP di hadapan dan di belakangnya.
Di dalamnya ia menggunakan pemprosesan Snapdragon 7 Gen 3 yang bergandingan dengan RAM 8GB dan storan dalaman 256GB. Selain itu, ia juga menampilkan bateri 10,100mAh serta sokongan ketersambungan Wi-FI 6 dan Bluetooth 5.3.
HONOR Pad 10 5G dijadualkan mula memasuki ke pasaran pada 10 Ogos 2025 pada harga RM1,799. Pra-tempahan untuk tablet baharu ini kini dibuka dan berpeluang untuk menerima hadiah percuma berbentuk Smart Bluetooth Keyboard, HONOR Choice Headphone Pro dan HONOR Choice Pencil selagi stok masih ada.













