Ketika melancarkan telefon pintar boleh lipat Magic V5, HONOR turut melancarkan HONOR Pad 10 5G. Berspesifikasi sama seperti HONOR Pad 10 Wi-Fi sahaja yang dilancarkan pada hujung Mei 2025, varian 5G ini hadir dengan harga sedikit tinggi lebih RM300.
HONOR Pad 10 5G mula menemui pengguna bermula 10 Ogos 2025 menerusi kedai fizikal HONOR Malaysia, kedai dalam talian rasminya, serta di Shopee dan Lazada pada harga:
- HONOR Pad 10 5G (RAM 8GB + storan 256GB) – RM1,799
Pembelian tablet ini turut didatangkan dengan hadiah percuma berbentuk, Honor Pad 10 Smart Bluetooth Keyboard, Honor Pencil dan Honor Headphones Pro selagi stok masih ada.
Varian ini hanya ditawarkan dengan satu sahaja pilihan warna iaitu Kelabu, berbeza dengan HONOR Pad 10 Wi-Fi yang mempunyai pilihan warna Cyan dan Kelabu.
Selain dari kelebihan sambungan 5G, HONOR Pad 10 5G secara asasnya sama seperti varian wi-finya. Ia mempunyai paparan IPS LCD 12.1 inci 2.5K (2560×1600) dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 500 nits.
Dikuasakan oleh pemprosesan Qualcomm Snapdragon 7 Gen 3, HONOR Pad 10 5G digandingkan dengan RAM 8GB dan storan 256GB.
Dari segi pengimejan pula, tablet ini dilengkapkan dengan satu kamera 8MP pada bahagian belakang, dan satu lagi di bahagian hadapan. Ia juga mempunyai bateri berkapasiti 10,100mAh yang boleh dicaskan pada 35W melalui USB-C dengan 6 pembesar suara.
Sokongan ketersambungannya pula selain dari 5G turut menyokong Wi-Fi 6, dan Bluetooh 5.3. Untuk perisian, tablet ini menggunakan HONOR MagicOS 9.0 berasaskan Android 15.