HONOR secara rasminya telah mengumumkan tarikh pelancaran siri Magic5 baharunya. Menurut laman webnya, HONOR akan mengumumkan siri telefon pintar mercunya pada 27 Februari jam 8 malam waktu Malaysia menerusi acara MWC 2023 di Barcelona. Acara tersebut juga akan memperkenalkan telefon pintar boleh lipat HONOR baharu Magic Vs ke pasaran global.
Siri Magic 5 ini merupakan kesinambungan dari siri Magic4 yang dilancarkan pada tahun lepas. Setakat ini HONOR masih belum mengeluarkan sebarang maklumat spesifikasi rasmi telefon pintar mercu baharunya ini.
Melalui slogan “Unleash the Power of Magic”, HONOR hanya memberikan bayangan kemungkinan telefon pintar berkenaan kelak akan hadir dengan tri-kamera yang ditempatkan pada bahagian bulatan di belakangnya.
Telefon pintar baharu tersebut dikatakan akan hadir dengan tiga model iaitu standard, Pro dan Ultimate. Maklumat awal yang tertiris juga mengatakan ketiga-tiga model HONOR Magic5 ini akan menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2, dengan kemungkinan varian keempat, Lite mungkin menggunakan Snapdragon 695.
Perbezaan utama antara ketiga-tiga model berkenaan dijangka mungkin terletak pada kamera-kamera yang dilengkapkan masing-masing. Menurut khabar angin sebelum ini, tri-kamera berkenaan hanya terdapat pada model standard sahaja. Manakala model Magic5 Pro dan Magic5 Ultimate pula mungkin mempunyai empat kamera 50MP di belakangnya dengan sesetengah modul kamera tersebut mungkin menggunakan sensor 64MP.
HONOR Magic Vs
Untuk HONOR Magic Vs pula, telefon pintar berkenaan tampil lebih nipis dan ringan berbanding model sebelumnya dan menggunakan cipset Snapdragon 8 Plus Gen 1. Telefon pintar ini menggunakan skrin OLED 6.45-inci 120Hz pada bahagina luarannya dengan skrin di dalamnya menggunakan panel OLED 7.9-inci 90Hz OLED.
HONOR sebelum ini mengesahkan Magic Vs akan hadir ke pasaran Malaysia pada suku pertama tahun ini. Namun tarikh dan harga pasarannya masih lagi belum diumumkan. Mengikut harganya di China, ia berharga sekitar RM4,800 dan memandangkan pelancarannya ke peringkat global akan dibuat tidak lama lagi, peminat HONOR di Malaysia mungkin tidak perlu menunggu lebih lama lagi untuk mendapatkannya.













