HONOR Magic 6 Pro yang diumumkan baru-baru ini didatangkan dengan bateri silikon karbon generasi kedua yang dikatakan mampu meningkatkan prestasi dalam pelbagai keadaan serta kuasa yang lebih tumpat. Bateri ini merupakan pertama di dunia yang mempunyai cip kendiri yang dinamakan sebagai Power Enhanced Chip HONOR E1.
Teknologi bateri baharu ini menggunakan silikon untuk elektrod negatifnya menggantikan graphite seperti lazimnya. Silikon mempunyai kelebihannya yang tersendiri berbanding graphite terutama dari segi sifat ketumpatannya. Anod silikon pula menawarkan 10 kali ganda ketumpatan kuasa dari graphite, namun isipadunya 300% lebih besar dengan kitaran hayat yang lebih pendek. Atas sebab itu, HONOR menggunakan anod silikon-karbon bagi mengatasi kelemahan tersebut.
Menurut HONOR, teknologi Microtunneling Laser Guidance membawakan perubahan besar apabila digunakan untuk anod berasaskan silikon. Ia meningkatkan luas kawasan sentuhan antara elektrolit dengan anod berasaskan silikon berkenaan dan seterusnya membolehkan kapasiti dalam julat voltan rendah dapat digunakan. Ia dapat membantu meningkatkan kapasiti bateri yang boleh digunakan dalam setiap cas.
Bateri silikon karbon generasi kedua ini juga meningkatkan prestasi dalam pengecasan. Bagi memastikan prestasi yang lebih optimum, HONOR turut menambah cip kendiri untuk menguruskan bateri berkenaan.
Cip berkenaan akan mengawal arus yang mengalir secara berterusan bergantung pada keadaan dan beban yang terlibat. Menurut HONOR, ia mampu menjadikan bateri lebih selamat dan menawarkan bacaan peratus baki bateri dengan lebih tepat. Selain itu, ia juga membolehkan Magic6 Pro yang akan dilancarkan kelak boleh dicaskan pada 80W berbanding 66W.
Magic 6 Pro juga didakwa mengatasi semua telefon pintar pada -20°C dengan kecekapannya. Menariknya, Tesla mula membangunkan teknologi bateri berkenaan sejak 2016 dan telah pun menggunakannya pada beberapa model kenderaan keluarannya.













