Honor 9X dan Honor 9X Pro secara rasminya dilancarkan dan menjadi telefon pintar pertama keluaran jenama Honor yang menampilkan kamera swafoto pop-naik 16MP f/2.2. Kedua-dua telefon pintar ini kelihatan hampir sama dari segi luarannya, namun dibezakan pada kamera tambahan di belakang serta penambahan RAM dan storan tambahan bagi model 9X Pro.
Telefon pintar ini menawarkan spesifikasi paparan skrin LCD IPS 6.59-inci beresolusi 1,080 x 2,340px. Rekaan berskrin penuh ini mampu ditawarkan olehnya disebabkan oleh kamera swafoto yang biasa ditempatkan di sebelah hadapan telah dialihkan ke bahagian atasnya yang boleh dipop-naik.
Untuk 9X Pro pula, ia menawarkan tetapan tri-kamera untuk kamera utamanya dengan lensa utama 48MP (f/1.8, 1/2” penderia Quad Bayer dengan 0.8µm pixels). Kamera ini disokong dengan sebuah lensa bersudut ultra-lebar 8MP dan sebuah lensa berkedalaman 2MP. Bagi versi 9X pula, kamera bersudut ultra-luas ini tidak ditawarkan.
Kirin 810
Kedua-dua telefon pintar ini dikuasakan oleh cipset Kirin 810 yang terbaru, sama seperti yang digunakan oleh Huawei Nova 5. Cipset ini memiliki CPU okta-teras (2x A76 pada 2.3GHz, 6x A55 pada 1.9GHz) dan satu GPU Mali-G52. Sistem operasi yang digunakan oleh kedua-duanya adalah EMUI 9.1 yang berasaskan Android 9.0 Pie lengkap dengan GPU Turbo 3.0.
Model Pro hadir dengan RAM 8GB dan menawarkan pilihan storan dalaman UFS 2.1 128GB atau 256GB. Honor 9X pula menawarkan pilihan RAM 4GB/64GB atau pilihan RAM 6GB dengan pilihan storan dalaman 64GB atau 128GB. Kedua-dua model juga menyediakan sebuah slot kad mikro SD untuk pengembangan.
Sungguhpun telefon pintar ini menawarkan bateri berkapasiti besar, 4,000mAh, ianya tidak dilengkapkan dengan sokongan pengecasan pantas. Port USB Type-C yang ada padanya hanya sekadar mampu menyokong pengecasan sehingga 10W sahaja. Tidak ketinggalan, telefon pintar dari siri ini masih lagi menawarkan bicu audio.
Honor 9X dan Honor 9X Pro akan berada di pasaran China pada 30 Julai ini terlebih dahulu sebelum akan menyusul ke pasaran-pasaran lain pada tarikh yang dimaklumkan kemudian.
Sumber berita diperoleh dari TechAndroids













