Harga HONOR 200 Lite telah diketahui beberapa hari yang lalu dan kini secara rasminya tarikh ketersediaan telefon pintar ini ke pasaran Malaysia telah diumumkan. Seperti yang dijangkakan, telefon pintar ini hanya hadir dengan satu konfigurasi bersama-sama saiz storan yang amat besar bagi harga yang ditawarkannya.
Secara asasnya, HONOR 200 Lite menampilkan paparan AMOLED 6.7-inci 1080p dengan kecerahan puncak global 1,200 nits, kecerahan puncak kandungan HDR 2,000 nits dan kadar penyegaran semula 90Hz. Ia dikuasakan oleh pemprosesan MediaTek Dimensity 6080 dengan RAM 8GB dan storan 512GB.
Untuk fotografinya pula, telefon pintar ini menampilkan kamera utama 108MP, kamera ultra lebar 5MP, kamera makro 2MP, dan kamera hadapan 50MP. Telefon pintar peringkat menengah ini juga didatangkan dengan bateri yang kapasitinya sedikit kecil pada 4,500mAh dengan sokongan pengecasan 35W. Dari segi ketersambungannya pula, telefon pintar ini menyokong 5G, Wi-Fi 5 dan Bluetooth 5.1.
HONOR 200 Lite didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu biru dan hitam. Ia juga mempunyai ciri tahan jatuhan dengan jaminan perlindungan keretakan depan dan belakang 365 hari. Anda boleh mendapatkan HONOR 200 Lite di pasaran bermula dari 26 Julai 2024 dengan harga RM1,299.















