Xiaomi Malaysia telah mengumumkan promosi untuk Xiaomi 12 5G di pasaran Malaysia dengan menawarkannya pada harga diskaun RM2,699. Hanya didapati di kedai-kedai fizikal dan wakil pengedar yang sah, harga yang ditawarkan ini merupakan pengurangan sebanyak RM300 berbanding harga jualan yang disarankan, RM2,999.
Dikongsikan menerusi halaman rasmi Facebook, Xiaomi Malaysia mengumumkan promosi ini ditawarkan secara siapa cepat dia dapat sehingga stok masih ada mengikut terma dan syarat.
Xiaomi 12 5G merupakan telefon pintar Android 12 yang dikuasakan oleh cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 dengan RAM 8GB, storan 256GB. Selain itu, ia juga menampilkan paparan AMOLED 6.28-inci 120Hz beresolusi 1080 x 2400 piksel dengan sokongan Dolby Vision dan HDR10+.
Untuk kameranya, Xiaomi menyatakan telefon pintar ini mampu menawarkan pengguna pengalaman sinematik sebenar dan mengusai setiap babak rakaman dengan adunan kamera utama 50MP, ultra-lebar 13MP dan kamera telefoto/makro 5MP. Pada hadapannya pula disediakan sebuah kamera 32MP.













