Sebuah aplikasi perniagaan, Warong Digital / ERamadhan Bazar telah dilancarkan bagi tujuan membantu golongan penjaja menjalankan perniagaan ketika Ramadan.

Dilancarkan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), aplikasi ini diharap dapat mempermudahkan golongan penjaja menjalankan perniagaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Setiausaha Agungnya, Encik Mohamed Zamri Mohammed, platform ini dibangunkan dengan kerjasama Kiplepay Sdn Bhd. Penyedia perkhidmatan pembayaran dalam talian ini dapat membantu penjaja dan peniaga melakukan urus niaga dengan lebih mudah.

“GPPPKMM juga bekerjasama dengan pelbagai rakan penghantaran seperti Lalamove untuk kawasan Lembah Klang, Quick Sent (Melaka, Negeri Sembilan dan Johor) manakala kawasan utara seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang akan menggunakan perkhidmatan e-runner. GPPPKMM mengalu-alukan juga mana-mana syarikat yang boleh bekerjasama dalam perkhidmatan ini bagi melancarkan penghantaran terus kepada pengguna,”

Para penjaja yang berminat yang berdaftar dengan aplikasi Warong Digital / ERamadhan Bazar boleh mula memuat turunnya pada 21 April ini.

Bagi pengguna pula, fungsi pesanan makanan melalui program berkenaan akan mula dimasukkan ke dalam aplikasi Kiplepay pada 21 April nanti. Kiplepay boleh dimuat turun melalui gedung Google Play dan juga Apple App Store.

“Pendaftaran juga sedang giat dijalankan untuk memastikan penjaja dan peniaga dapat didaftarkan dan boleh berniaga di bulan Ramadan ini.

“Kita juga merancang akan terus menggunakan platform ini bagi membantu penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara walaupun selepas berakhirnya Ramadan,” tambah beliau lagi.

Maklumat lanjut boleh menghubungi wakil GPPPKMM di setiap negeri atau menerusi melalui Telegram, t.me/penjajamalaysia

Tinggalkan komentar