Google akhirnya kini telah memasukkan sokongan kad-kad Maybank untuk Google Wallet. Melalui penambahan ini, pengguna kini boleh menyelaraskan kad-kad Mastercard dan Visa Maybank ke dalam ciri pembayaran digital berkenaan dan melakukan transaksi secara nirwayar menerusi terminal NFC yang menyokongnya.

Untuk menambahkan kad anda, buka aplikasi Google Wallet pada telefon pintar Android anda, ketik pada “Add a card” dan pilih “Payment Card”. Seterusnya, ketik pada butang “+” dan masukkan maklumat kad anda, sahkannya menerusi MAE atau dengan menghubungi talian hotline Maybank, dan tetapkan Maybank Card sebagai pilihan lalai untuk Google Pay.

Selain itu, anda juga boleh menambah kad anda ke Google Wallet secara terus dengan menggunakan aplikasi MAE. Untuk melakukannya, buka aplikasi dan ketika pada “View All Accounts”. Dari situ, pilih kad-kad sedia ada milik anda dari tab “Cards”, ketik pada “Add to Google Play,” ikuti arahan yang tertera pada skrin dan sahkan proses melalui Secure2u.

Anda hanya boleh menyelaraskan kad anda hanya pada satu peranti sahaja dan peranti berkenaan juga perlu mempunyai aplikasi MAE. Anda juga tidak boleh menggunakan kad yang sama pada dua platform yang berbeza seperti Google Wallet dan Apple Pay secara serentak.

Bersempena penambahan kad-kad Maybank ke dalam sistem pembayaran Google, Maybank telah mengumumkan promosi pulangan tunai 100%. Pengguna yang bertuah berpeluang untuk menikmati rebat sehingga RM10 untuk transaksi pertama menggunakan Google Wallet. Bagaimanapun, Maybank juga menyatakan tawaran tersebut hanya kepada 1,000 pengguna pertama bermula dari sekarang sehingga 8 Julai 2024.

Google juga sebelum ini telah memasukkan sokongan untuk kad-kad Bank Muamalat pada bulan lepas dan melalui penambahan Maybank ini, jumlah bank-bank tempatan yang disokong Google Wallet kini mencapai lapan buah bank.

Tinggalkan komentar