Bagi pengguna peranti Android, anda mungkin sedia maklum Google Play Services bertanggungjawab dalam banyak perkara di belakang tabir sistem operasi berkenaan.
Bagaimanapun, perkhidmatan berkenaan akan menghentikan sokongannya untuk peranti-peranti lama yang menggunakan versi Jelly Bean bermula pada bulan hadapan.
Pengumuman tersebut dikeluarkan menerusi Android Developers Blog dan turut menyatakan Play Services versi 21.30.99 merupakan yang terakhir menyokong sistem operasi berusia sembilan tahun tersebut.
Ketika ini terdapat lebih kurang satu peratus dari jumlah keseluruhan pengguna Android yang masih lagi kekal menggunakan Jelly Bean.
Pengumuman ini dijangka tidak memberi kesan besar terhadap keseluruhan pengguna Android memandangkan majoriti dari pengguna sudah pun menaik taraf sistem operasi peranti masing-masing.













