Google telah mula menguatkuasakan had masa bagi fungsi panggilan video berkumpulan Google Meet bagi pengguna akaun Gmail percuma. Pengguna akaun Gmail percuma akan dihadkan masa kepada 1 jam sahaja berbanding sebelum ini yang menyediakan tempoh had masa 24 jam.
Fungsi panggilan video berkumpulan yang ditawarkan oleh Google Meet amat membantu ramai pengguna berinteraksi bagi tujuan kerja dan pembelajaran di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.
Meet pada asalnya dibuka kepada pengguna bukan perusahaan pada April tahun lalu bagi menyaingi Zoom. Pada waktu itu, Google berjanji akan menawarkan panggilan video tanpa had sehingga 30 September 2020.
Penawaran tersebut kemudiannya dilanjutkan sehingga Mac 2021, dan seterusnya sekali lagi dilanjutkan sehingga ke akhir bulan Jun.
Google bagaimanapun masih lagi menawarkan panggilan video secara berdua tanpa had masa bagi pengguna-pengguna akaun Gmail percuma. Untuk melanjutkan had masa lebih dari 1 jam penggunaan panggilan video berkumpulan, pengguna perlu melanggan pakej Google Workspace dengan harga serendah RM 20 sebulan.
Selain Google, panggilan video secara berdua untuk perkhidmatan Zoom juga adalah tanpa had dan percuma. Cuma bezanya, had masa yang diberikan oleh Zoom adalah selama 40 minit sahaja dan tawaran panggilan video percumanya pula ditawarkan pada cuti peristiwa seperti Krismas, Tahun Baru dan sebagainya.
Google Meet, Zoom dan Microsoft Teams kesemuanya bermula sebagai produk komunikasi perusahaan yang digunakan oleh pengguna biasa bukan perusahaan pada peringkat awal penularan wabak pandemik ini. Kini di dalam tempoh tawaran percuma yang kini mula ditarik satu-persatu, agak menarik untuk melihat perkhidmatan mana yang akan menjadi pilihan pengguna.












