Penggunaan panggilan video kini semakin popular terutamanya di dalam keadaan menghadapi wabak pandemik COVID-19. Bagi memenuhi permintaan, Google Duo telah meningkatkan jumlah maksimum peserta di dalam satu-satu panggilan video.
Sebelum ini, Google Duo hanya mampu menampung sehingga 8 orang peserta untuk satu panggilan video. Kini, perkhidmatan panggilan video ini telah meningkatkan lagi sokongannya kepada 12 orang peserta dalam satu panggilan video.
Google Duo juga dijangka bakal meluncurkan codec video terbaru bagi meningkatkan kualiti panggilan video. Codec terbaru ini dikenali sebagai AV1 yang menampilkan kadar pemampatan yang lebih baik bagi meningkatkan mutu panggilan video walaupun di dalam keadaan isyarat rangkaian yang lemah. Penambahbaikan ini bakal diluncur masuk dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Beberapa ciri penambahan terbaru lain turut diperkenalkan iaitu Duo Moments. Fungsi ini diibaratkan seperti mengambil screenshot peserta-peserta panggilan video untuk dikongsikan bersama. Turut ditambah adalah fungsi menyimpan mesej-mesej video dari panggilan yang telah dibuat.













