Golden Screen Cinemas (GSC) sedang merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan dan aplikasi penstrimannya yang dikenali sebagai GSC Now.
Berdasarkan laporan dari laman web Amanz.my, pengendali pawagam ini telah meletakkan pemegang tempat (placeholder) untuk platform berkenaan pada laman webnya. Beberapa maklumat mengenai perkhidmatan tersebut turut dinyatakan di situ.
Antara maklumat yang dimuatkan pada laman berkenaan termasuklah imej acah, kandungan yang mungkin disediakannya kelak, serta boleh dipasang pada peranti-peranti pintar.
Turut dinyatakan, GSC Now merupakan usaha kolaborasi di antara pengendali pawagam dengan penyedia perkhidmatan penstriman tempatan GetPlay oleh LIFE, yang dimiliki Mbits Digital Sdn Bhd.
Buat masa ini, hanya maklumat tersebut sahaja yang disediakan menerusi pemegang letak di laman web berkenaan.
Menariknya, tab GSC Now juga boleh diketemukan apabila anda mengakses menu Showtime di dalam aplikasi mudah alih GetPlay. Beberapa judul filem untuk disewa disenaraikan menerusi menu terbabit.
Pengguna dikehendaki mendaftar akaun jika berhasrat untuk menonton kandungan-kandungan yang disediakan menerusi perkhidmatan terbabit. Tidak dapat dipastikan sama ada ini merupakan versi muktamad bagi platform penstriman GSC Now atau bukan.
Berkemungkinan besar platform ini akan dilancarkan dalam masa yang terdekat jika melihat pada perkembangan semasa.













