Ketika ini peranti boleh lipat kian meluas penggunaannya dengan Samsung Galaxy Z Fold 3 merupakan salah satu telefon pintar boleh lipat yang popular di pasaran. Bagi pengguna telefon pintar berkenaan yang menggunakan aplikasi papan kekunci Gboard, salah satu isu yang timbul adalah ketidakselesaan apabila menaip melalui paparan besar pada sebelah dalamnya.

Menaip pada paparan yang besar sememangnya agak sukar dilakukan pada mana-mana peranti berskrin besar. Sesetengah pengguna tablet pada kebiasaannya akan memautkan peranti dengan papan kekunci fizikal secara Bluetooth bagi mengatasi masalah tersebut.

Bagaimanapun, kemaskini beta terbaru aplikasi Gboard dilihat mampu mengatasi masalah berkenaan. Pengguna kini boleh menggunakan fungsi yang membahagi dua papan kekunci dengan membawakan kedua-dua belah rapat ke sisi peranti.

Menurut laporan 9to5Google, anda akan mendapati pilihan untuk membahagi dua belah dan papan kekunci atau papan kekunci biasa pada bahagian toolbar papan kekunci berkenaan.

Papan kekunci terbelah dua ini akan kembali ke bentuk biasa apabila pengguna menggunakan paparan luaran Galaxy Z Fold 3. Fungsi beta baharu yang ditambah ini bagaimanapun masih belum disediakan pada tablet-tablet Android.

Bagi pengguna Galaxy Z Fold 3 yang berminat untuk menguji versi beta ini, anda boleh mendapatkan aplikasi Gboard versi beta terkini iaitu v11.9.04. Dijangkakan fungsi akan diperkenalkan kepada pengguna umum selepas versi beta ini selesai menjalani pengujian.

Tinggalkan komentar