Garmin baru sahaja mengumumkan barisan terkini jam tangan pintarnya, fēnix 7, 7S, 7X dan juga epix yang terbaru. Siri Garmin fēnix 7 mengetengahkan kecekapan tenaga solar yang dipertingkatkan dan bateri yang ditambah baik.

Manakala Garmin epix pula merupakan jam tangan pintar premium menampilkan paparan sesentuh AMOLED berdefinisi tinggi. Ia juga menawarkan sokongan fungsi pelbagai jenis sukan yang seperti lazimnya ditawarkan oleh Garmin.

Garmin fēnix 7; Jam tangan pintar berkuasa solar

Garmin fēnix 7S, fēnix 7 dan fēnix 7X hadir dengan paparan memory-in-pixel (MIP) masing-masing iaitu 1.2-inci, 1.3-inci dan 1.4-inci. Tidak seperti jam tangan pintar biasa, Garmin fēnix 7 dibina dengan kelasakan melalui kaca pelindung Power Sapphire.

Siri Garmin fēnix 7 yang menampilkan panel solar boleh telap (permeable) ini telah dioptimumkan untuk kecekapan solar 200% lebih tinggi. Apabila digabungkan dengan fungsi Power Manager yang telah dinaiktaraf, Garmin fēnix 7X mampu bertahan sehingga 24 hari di dalam UltraTrac Mode.

Sebagaimana yang anda jangkakan dari sebuah jam tangan pintar berkuasa solar, Garmin fēnix 7 direka khusus untuk rekreasi luar dengan lebih dari 40 mod sukan lanjutan terbina dalam.

Antara mod tersebut, termasuklah mendaki gunung, memanjat batu tongkol (bouldering), dan larian merentas desa. Bagi membantu para atlet memahami tahap kecergasan semasa mereka, terdapat fungsi Real-Time Stamina baharu yang mampu meningkatkan mutu latihan yang dijalankan.

Melalui aplikasi Garmin Connect, para atlet juga mampu menggunakan fungsi Up Ahead untuk menyimpan maklumat laluan bersama-sama petunjuk ke titik pemeriksaan (checkpoint), stesen bantuan cemas, dan lain-lain data.

Jam tangan pintar ini juga didatangkan dengan lampu suluh terbina dalam dan lampu merah strob untuk memudahkan pengguna melakukan aktiviti di tempat gelap seperti larian waktu malam atau menjelajah gua.

Harga Garmin fēnix 7S, dan fēnix 7 bermula dari RM3,270 dengan pelbagai pilihan tali jam dan warnanya. Manakala Garmin fēnix 7X pula harganya bermula dari RM4,670.

Garmin epix: Jam tangan pintar AMOLED yang epik dengan hayat bateri sepanjang 21 hari

Garmin epix merupakan jam tangan pintar Garmin pertama bagi siri rekreasi luarnya yang menampilkan paparan skrin sesentuh AMOLED berdefinisi tinggi. Melalui kaca kristal nilam tahan calar bersama-sama bingkai titanium, anda bebas membawakan jam tangan pintar ini ke mana-mana aktiviti lasak yang anda lakukan.

Sama seperti siri Garmin fēnix 7, Garmin epix juga menampilkan lebih dari 40 mod aktiviti sukan luar dan sukan dalaman terbina dalam. Sejumlah 42,000 lapangan golf dan 2,200 resort ski telah dipetakan ke dalam Garmin epix.

Bersama-sama mod sukan, jam tangan pintar ini juga hadir dengan pelbagai fungsi kesihatan dan ciri pintar sambil memanfaatkan paparan yang jelas dan cerah.

Garmin epix boleh digunakan selama 30 jam di dalam mod sukan GPS, 16 hari sebagai jam tangan pintar, dan sehingga 21 hari apabila ciri Power Manager diaktifkan. Harga bagi Garmin epix bermula dari RM4,199.

Harga siri Garmin fēnix 7 dan Garmin epix di Malaysia

Pilihan Harga
Garmin fenix 7S Silver with Graphite Band RM3270
Carbon Gray DLC with Black Band (Sapphire)

Dark Bronze Titanium with Shale Gray Band (Sapphire)

RM4199
Rose Gold Titanium with Limestone Leather Band (Sapphire) RM4670
Cream Gold Titanium with Cream Nylon Band (Sapphire) RM4670
Garmin fenix 7 Silver with Graphite Band RM3270
Carbon Gray DLC with Black Band (Sapphire)

Black DLC Titanium with Black Band (Sapphire)

Mineral Blue Titanium with Whitestone Band (Sapphire)

RM4199
Titanium with Chestnut Leather Band (Sapphire) RM4670
Carbon Gray DLC Titanium with Vented Titanium Band (Sapphire) RM5370
Garmin fenix 7X Carbon Gray DLC with Black Band (Sapphire)

Black DLC Titanium with Black Band (Sapphire)

Mineral Blue Titanium with Whitestone Band (Sapphire)

RM4670
Titanium with Chestnut Leather Band (Sapphire) RM5130
Carbon Gray Titanium with Metal Band (Sapphire) RM5830
Garmin epix Slate Steel with Silicone Band RM4199
Black Titanium with Silicone Band (Sapphire) RM4670
White Titanium with Silicone Band (Sapphire) RM4670

Jam tangan pintar Garmin fēnix 7, 7S, 7X dan juga epix boleh didapati menerusi kedai jenama Garmin di Lazada, Shopee, AECO e-store dan wakil jualan yang sah.

Tinggalkan komentar