Garmin telah mengumumkan kehadiran Tactical Edition bagi jam tangan pintar lasaknya, Instinct 3. Sama seperti versi biasa, ia didatangkan dengan pilihan 45mm dan 50mm, namun dengan penambahan bezel diperkuat logam untuk meningkatkan ketahanannya.
Anda boleh memilih antara model paparan AMOLED atau pengecasan suria. Cuma, untuk model paparan AMOLED hanya terhad dengan pilihan saiz 50mm. Selain daripada bezel logam, Instinct 3 Tactical Edition juga didatangkan di dalam bekas polimer diperkuat gentian dan paparan rintang calar. Ia juga mempunyai penarafan termal MIL-STD 810 dan kerintangan hentakan dengan kerintangan air sehingga kedalaman 100 meter.
Jam tangan taktikal ini juga dimuatkan dengan kompas 3-paksi, altimeter barometrik, dan GPS berbilang jalur untuk navigasi yang lebih mantap. Ia menyokong ciri-ciri seperti penghalaan TracBack, penyelesaian balistik, kembara menggalas (rucking), dan banyak lagi. Turut dimuatkan penderia dalam peranti untuk pemantauan kesihatan dan pengesanan insiden bagi tujuan keselamatan.
Untuk baterinya, model AMOLED mampu bertahan sehingga 24 hari untuk sekali cas di dalam mod jam tangan pintar. Manakala model pengecasan solar pula boleh mendapat penggunaan tanpa had asalkan ia didedahkan pada sinaran matahari untuk tiga jam dalam sehari. Bagi penggunaan waktu malam pula, ia didatangkan dengan lampu suluh berwarna hijau yang terbina dalam dan mod gogal nampak malam dan mod strob untuk pengisyaratan (signalling).
Garmin Instinct 3 Tactical Edition dijual pada harga bermula dari RM2,479 untuk model pengecasan solar. Manakala model AMOLED pula dijual pada harga RM2,979. Anda boleh mendapatkan jam tangan pintar lasak ini menerusi kedai dalam talian rasmi GARMIN, Shopee, Lazada, AECO dan wakil-wakil pengedar yang sah.













