TM telah mendedahkan terdapat kerosakan telah dikesan pada kabel dasar laut Asia Pacific Cable Network 2 (APCN2) yang telah menyebabkan gangguan pada perkhidmatan internet Malaysia.
Bahagian kerosakan ini secara spesifiknya berlaku pada Segment 3 sistem kabel berkenaan yang berada di antara Lantau di Hong Kong dan Chongming di China.
Sambungan dari Malaysia adalah berhubung terus ke Lantau menerusi Segment 2 APCN 2 dari Kuantan. Kerosakan ini turut menjejaskan sambungan di antara Malaysia dengan Amerika Syarikat.
Hal ini telah menyebabkan kemerosotan prestasi perkhidmatan apabila mengakses ke laman web dan perkhidmatan yang dihoskan di Hong Kong dan Amerika Syarikat.
45 buah konsortium termasuk TM yang menjadi tunjang kepada APCN2 telah mula menggemblengkan tenaga untuk kerja-kerja pembaikan kerosakan ini.
Pada masa yang sama, TM telah menyiapkan kerja-kerja mitigasi dan melakukan traffic routing serta optimasi bagi mengurangkan kesan terhadap pengguna.
Gangguan ini pastinya bukanlah sesuatu perkara yang baik berlaku dalam keadaan trafik sedia ada memuncak berikutan pelaksanaan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih lagi berjalan. Tambahan pula, kerosakan dan mitigasi kabel dasar laut adalah sesuatu yang amat sukar dijangka.
Peta dari Submarine Cable Map













