Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memaklumkan bekalan elektrik telah kembali pulih sepenuhnya menerusi saluran media sosial rasminya sekitar jam 3.30 petang tadi.
Gangguan bekalan elektrik berkenaan dilaporkan berpunca dari kerosakan pada salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) di Yong Peng North, Johor. Ia mengakibatkan pemisahan beban sebanyak 2.2GW bersamaan 10% dari keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.
Terdahulu, beberapa negeri di Semenanjung Malaysia mengalami gangguan bekalan elektrik merangkumi beberapa kawasan di Lembah Klang, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang dan Pahang. Pihak TNB telah mengambil maklum mengenai gangguan tersebut dan segera mengenalpasti punca kejadian untuk memulakan kerja-kerja baik pulih.
Gangguan tersebut telah mengakibatkan beberapa masalah perkhidmatan yang membabitkan:
- operasi di KLIA tergendala seketika
- gangguan perkhidmatan tren bagi laluan LRT Ampang/Sri Petaling
- masalah liputan rangkaian beberapa syarikat telekomunikasi
- gangguan capaian internet Unifi
- pesanan dan penghantaran melalui Grab
- lampu isyarat
- penduduk terperangkap di dalam lif menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur













