Samsung Galaxy S20+ diketahui bakal hadir dengan variasi uniknya yang tersendiri dan baru-baru ini diumumkan Galaxy S20+ BTS Edition bakal hadir ke pasaran tidak berapa lama lagi.

Khabar baik ini pastinya disambut baik oleh para BTS ARMY di Malaysia sentiasa patuh dan taat setia kepada kumpulan muzik ini.

Menurut Samsung Malaysia, Galaxy S20+ BTS Edition boleh mula dibuat pra-tempahan dari 19 Jun hingga 5 Julai 2020 pada harga RM4,399.

Dihiasi dengan kemasa kaca berwarna ungu pada bahagian belakangnya, edisi khas telefon ini turut bertatahkan logo BTS pada penjuru sebelah bawahnya. Turut disertakan adalah ikon hati berwarna ungu pada modul kamera belakangnya.

Selain itu telefon ini turut dipra-pasang dengan tema BTS dan aplikasi komuniti peminat Weverse. Galaxy S20+ BTS Edition turut didatangkan bersama-sama set pelekat dan kad foto BTS.

Pembeli pra-tempahan turut diberikan pilihan untuk mendapatkan Galaxy Buds+ BTS Edition baharu pada harga RM449.50. Bercakap mengenai Galaxy Buds+ BTS Edition, putik telinga ini didatangkan bersama-sama bekas mengecas yang dihiasi dengan warna ungu dan hitam. Sama seperti telefonnya, putik telinga ini turut menampilkan ikon bercorak hati ikonik BTS pada bekas dan juga pada putiknya.

Juga, pembeli pra-tempahan bakal menerima Samsung Wireless Charger Pad BTS Edition. Jadi, bagi anda yang merupakan BTS ARMY boleh bersedia untuk melakukan pra-tempahan Galaxy S20+ BTS Edition yang mula dibuka pada 19 Jun ini.

Tinggalkan komentar