Samsung Galaxy S22 Ultra menyertakan pena stylus S Pen bagi meningkatkan lagi kefungsian telefon pintar mercu ini. Pelbagai fungsi dapat digunakan bersama-sama S Pen ini dari melakukan contengan ringkas pada nota, hinggalah rakaman video dan suntingan foto.

Selain dari siri Galaxy Note sebelum ini, Galaxy Z Fold 3 dan Galaxy S21 Ultra juga menyediakan sokongan S Pen. Cuma bezanya, S21 Ultra dan Z Fold 3 berkenaan tidak menyediakan slot menyimpan S Pen seperti yang disediakan pada S22 Ultra.

S Pen pada S22 Ultra kali ini didatangkan dengan peningkatan baharu seperti kadar respon yang lebih pantas bagi memberikan kelancaran menulis umpama di atas kertas.

Beberapa ciri menarik penggunaan pena stylus ini turut disediakan pada S Pen versi kali ini seperti:

Mencatat memo pada skrin yang dimatikan (screen-off)

Jika anda mengeluarkan S Pen dari bekas menyimpan ketika skrinnya dimatikan, skrin berkenaan akan bertukar menjadi sebuah kanvas untuk anda segera mencontengkan padanya.

Contengan tersebut kemudiannya akan disimpan terus ke aplikasi Samsung Notes. Anda boleh melakukannya tanpa perlu menghidupkan skrin anda.

Terdapat lima pilihan warna untuk dipilih iaitu merah, hijau biru, kuning dan putih, selain terdapat lima pilihan kelebaran mata pena disediakan. Turut disediakan pilihan pemadam dan juga butang menatal atas dan ke bawah. Segala apa yang anda tuliskan di dalam skrin ini akan disimpan di dalam aplikasi Notes apabila anda menyimpan kembali S Pen anda ke tempat menyimpannya.

Pratonton Notifikasi

Adakala anda menerima satu notifikasi emel, namun anda tidak ingin terus membukanya pada ketika itu. Dalam pada masa yang sama, anda ingin melihatnya sepintas lalu.

Melalui S Pen, anda boleh menggunakannya untuk melihat pratonton notifikasi dengan melalukannya di atas sebahagian teksnya. Fungsi berkenaan buat masa ini menyokong beberapa aplikasi tertentu seperti Gmail dan Instagram. Dijangkakan ia akan diperluaskan ke lebih banyak lagi aplikasi lain di masa akan datang.

Air Actions

Galaxy S22 Ultra anda boleh mengesan pergerakan S Pen bagi membolehkannya menggunakan Air Actions untuk tugasan tertentu dengan mengklik butang stylus secara sekali atau dua kali. Ciri ini membolehkan anda membuat tetapan lalai bagi navigasi. Anda juga boleh memilih tindakan tertentu untuk pelbagai aplikasi.

Misalnya, jika anda mempunyai S Pen di tangan anda dan telefon pintar anda di tempat lain seperti pada tripod atau sebagainya, anda boleh menggunakan S Pen tersebut untuk mengambil foto secara jarak jauh (remote).

Screen Write

Fungsi ini merupakan ciri pantas dan ringkas. Ia membolehkankan anda mengambil tangkapan layar, membuat penandaan, menyimpannya dan berkongsikannya terus dari skrin berkenaan.

Bagaimanapun, jika anda ingin menulis pada sisi skrin dengan kilasan ke kiri atau ke kanan, anda mungkin perlu mematikan fungsi mengesan gerak isyarat apabila menggunakan S Pen.

Caranya adalah dengan pergi ke Settings > Display > Navigation Bar > Block gestures with S Pen.

Smart Select

Fungsi ini membantu anda mengambil tangkapan layar di dalam sebarang bentuk dan saiz. Anda boleh mengambil tangkapan layar dalam bentuk segi empat, bulatan atau apa jua bentuk bebas dan simpankan bahagian tersebut pada Galaxy S22 Ultra anda.

Ciri ini juga membolehkan anda memadam imej latar belakang di dalam sesebuah gambar. Anda juga boleh menambah lukisan dan teks serta menambah sebuah imej lagi di atasnya. Ia juga membenarkan untuk menyimpan dan berkongsikan kreativiti anda terus dari skrint tersebut.

AR Doodle

Sebagaimana namanya, AR Doodle membolehkan anda melakukan contengan di dalam Realiti Imbuhan (Augmented Reality). Ciri penuh keseronokan melalui S Pen ini membolehkan anda menggunakan kamera hadapan bagi menghasilkan video dengan contengan anda termasuk bersama-sama di bingkai rakaman video anda.

Bagaimanapun, fungsi ini hanya boleh digunakan bersama-sama kamera hadapan sahaja yang boleh mengecam objek di dalam kamera sebagai wajah dan permukaan di kawasan persekitaran. Ini membolehkan anda melukis pada individu dan juga persekitaran oleh kamera hadapan berkenaan.

Terjemahan

Anda tidak semestinya perlu memasang aplikasi Google Translate memandangkan S Pen sendiri mempunyai fungsi terjemahan yang dikuasakan oleh Google Translate. Anda boleh menggunakannya untuk menterjemah apa jua bahasa yang ditawarkan oleh perkhidmatan dari Google tersebut.

Untuk menggunakan fungsi tersebut, apa boleh memilih fungsi Translate dari Air Commands dan lalukan di atas teks berkenaan dengan S Pen. Tunggu seketika dan terjemahan tersebut akan muncul.

Penup

Bagi anda yang meminati seni visual, anda boleh memanfaatkan kelebihan S Pen dan menjadikan paparan hebat S22 Ultra sebagai kanvas karya anda dengan Penup. Aplikasi ini menawarkan lukisan pra-siap untuk membolehkan anda mewarna pada berdasarkan garisan outline yang telah disediakan.

Live Messages

Live Messages membolehkan anda menghasilkan video dan GIF dengan contengan di atasnya. Anda boleh menangkap imej atau merakam video dan menconteng di atasnya untuk dihantar kepada sesiapa sahaja.

‘Kanta Pembesar’ (Magnify)

Ada ketikanya apabila dokumen-dokumen PDF tertentu tidak membenarkan anda melakukan zum untuk melihat teks dengan lebih jelas. Atau anda tidak mahu menggunakan jari anda untuk melakukan zum. Fungsi Magnify ini membolehkan anda membesarkan paparan kandungan anda ke 150%, 200%, 250%, dan 300%.

Menulis pada Kalendar

Ciri ini berguna apabila anda ingin menulis sesuatu nota pada tarikh tertentu di dalam Samsung Calendar pada kadar segera. Ia merupakan satu lapisan khas untuk menconteng di dalam aplikasi Samsung Calendar.

Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Samsung Galaxy S22 melalui pautan berikut:

Tinggalkan komentar