Pertama kali diperkenalkan pada 2019 lalu, fungsi PayDirect membolehkan pengguna memautkan kad fizikal Touch ‘n Go (TnG) dengan aplikasi TnG eWallet. Pada asalnya, fungsi berkenaan hanya dihadkan pada beberapa plaza tol terpilih sahaja.
Kini, fungsi berkenaan telah diperluaskan untuk kegunaan pembayaran parkir. Buat masa ini, fungsi ini hanya terhad di parkir-parkir terpilih seperti di Gurney Paragon Mall, Pulau Pinang.
Sebelum ini fungsi PayDirect Parking telah pun menjalankan pengujian di lima lokasi di sekitar Lembah Klang. Antaranya termasuklah Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya, dan Republik Damansara Heights. Ianya turut diuji di Vortex KLCC, The Curve of Mutiara Damansara dan Empire Shopping Gallery, Subang Jaya.
Seperti bayaran tol melalui PayDirect, pengguna yang telah mengaktifkan fungsi ini hanya perlu menyentuk kad ketika masuk dan keluar dari kawasan parkir.
Bayaran parkir akan terus ditolak dari akaun eWallet, melainkan baki di dalam akaun tidak mencukupi.
Bersempena pelancaran fungsinya, Gurney Paragon Mall kini menawarkan pulangan tunai 20% bagi pelanggan yang menggunakan fungsi ini kompleks berkenaan. Promosi ini ditawarkan sehingga 30 April 2021 dan terhad kepada 10,000 penebusan pertama bagi setiap pengguna. Pulangan tunai ini juga dihadkan kepada nilai maksimum RM 1 sahaja.
Selain itu, penggunaan fungsi ini juga tidak akan dikenakan surcaj bagi bayaran parkir seperti yang dikenakan di sesetengah tempat sebelum ini.













