Tahun lalu, Valve telah menerbitkan sebuah dokumentari menarik yang bertajuk Free To Play. Dokumentari ini mengisahkan tentang tiga orang atlet profesional sukan elektronik dari tiga pasukan berbeza, tiga negara berbeza dan tiga latar belakang kehidupan yang berbeza.
Mereka bertiga hanya ada satu persamaan antara satu sama lain. Mereka adalah pemain Dota 2 yang bertanding di dalam kejuaraan antarabangsa yang julung kali diadakan. Menariknya, dokumentari ini bakal ditayangkan di saluran Astro SuperSport tidak lama lagi.
Pendedahan berkenaan maklumat ini disiarkan melalui laman Facebook rasmi saluran Astro SuperSport dan ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari para peminat sukan elektronik tempatan walaupun ianya kini boleh ditonton secara percuma melalui Steam dan YouTube.
Free to Play menyentuh permasalahan dan situasi sebenar yang dialami para pemain profesional dengan lebih dekat. Masalah yang dialami seperti salah tanggapan dari ahli keluarga sendiri dan juga kebimbangan akan dihalau dari rumah kerana obsesi mereka ini. Begitu juga permasalahan di China yang mana terdapat premis-premis siber (lebih kurang Cyber Cafe di Malaysia) di dalam keadaan yang tidak terurus serta membahayakan kesihatan.
Suntingan yang bagus serta naratif yang disusun kemas di dalam filem dokumentari ini mampu memberikan kesan terhadap penonton walaupun ada sesetengah pihak melihat filem ini sebagai satu propaganda dari Valve untuk mempromosi sukan elektronik dan permainan Dota 2 itu sendiri.
Sebelum ini, Astro pernah menganjurkan Final Pan-Asian CGS (Championship Gaming Series) pada tahun 2007 bertempat di studionya.













