Bulan lepas telefon pintar boleh lipat Samsung generasi berikutnya, Galaxy Z Flip 4 dilaporkan telah tertiris dalam bentuk imej pengolokan 3D. Kali ini, TechTalkTV telah berkongsikan imej nyatanya secara fizikal dengan menampilkan bentuk rekaan yang sama seperti versi sebelumnya dan beberapa sedikit penambahbaikan.
Samsung Galaxy Z Flip 4 berwarna hitam tersebut telah dikongsikan oleh TechTalkTV menerusi Twitter dan YouTube, namun semakan terkini didapati kedua-dua hantaran tersebut telah pun dipadamkan.
Apabila lipatan telefon berkenaan dibuka, didapati kedua-dua bahagian paparan Galaxy Z Flip 4 dilengkapkan dengan kaca berpermukaan matte. Untuk paparan keduanya pula ditempatkan bersebelahan dengan modul kamera utamanya.
Pada sisinya pula terdapat sensor pengimbas cap jari bersama-sama engsel pada bahagian tengahnya. Sekali pandang tiada perbezaan di antara Z Flip 3 dengan Z Flip 4 melainkan jarak antara skrin apabila dilipat semakin mengecil.
Apa yang lebih menarik adalah kesan kedutan lipatan yang semakin kurang ketara sebagaimana sebelum ini. Justeru, dijangkakan pengalaman penggunaan telefon pintar bioleh lipat ini kelak menjadi lebih menarik.
Menurut sumber yang memberitahu TechTalkTV, Z Flip 4 dijangkakan akan hadir dengan sensor kamera yang sama iaitu sensor 12MP untuk kamera utama dan juga ultra lebar. Sensor bagi kamera swafotonya juga masih lagi sama iaitu 10MP.
Sumber berkenaan juga mendakwa Galaxy Z Flip 4 dijangkakan akan menggunakan bateri yang lebih besar dari kapasiti 3,700mAh dengan pengecasan pantas sehingga 25W. Pangkalan data dari Geekbench yang tertiris pada bulan lepas juga menunjukkan telefon ini akan menggunakan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1+.
Samsung setakat ini masih lagi belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai telefon ini. Namun kebanyakan pihak menjangkakan Samsung akan melancarkan Galaxy Z Flip 4 dan Z Fold 4 sekitar bulan Ogos ini.













