Apple telah pun melancarkan iOS 11 bermula hari ini dan diantara perubahan yang ditawarkan termasuklah format imej yang digunakan. Pada iOS 11, foto-foto yang baru diambil akan disimpan di dalam format HEIC (High Efficiency Image File Format).
Sungguhpun HEIC lebih jimat ruang jika dibandingkan dengan JPEG, format ini tidak disokong oleh Windows 10 secara natif. Hal ini mungkin mendatangkan masalah kepada pengguna-pengguna PC.
Bagaimanapun, mujurlah Apple telah mempermudahkan segala urusan yang mungkin akan timbul berkaitan ketersesuaian dengan format imej terbaru ini. Misalnya, jika anda menyambungkan peranti Apple seperti iPhone atau iPad yang menggunakan iOS 11 ke PC atau laptop Windows, ia secara automatiknya akan menawarkan fungsi memindahkan foto dan video di dalam format yang bersesuaian. Fungsi ini boleh dilakukan pada PC dan juga Mac.
Masalah yang utama sekarang ini adalah pada aplikasi pihak ketiga yang melakukan backup imej-imej dan video ke storan awanan. Google Photos misalnya, boleh membuat backup imej-imej yang disimpan di dalam format HEIC. Tetapi masalah akan timbul apabila cuba mendapatkan kembali (retrieve) imej berkenaan secara terus dari Google Photos ke PC Windows 10.
Sudah pasti anda boleh je convert fail-fail imej tersebut menggunakan converter atas talian. Cuma berhati-hati sikit apabila memuat naik fail-fail imej peribadi anda ke laman-laman web sembarangan ni.
iOS 11 menawarkan beberapa perubahan dan penambahbaikan dan seperti biasa, pengguna-pengguna bakal menghadapi masalah dari segi ketersesuaian pada peringkat awalnya. Jika anda tidak mahu menghadapi sebarang masalah berkaitan HEIC, anda boleh mengubah tetapan pada peranti iOS 11 dengan menyimpan imej di dalam format JPEG.
Caranya adalah dengan pergi ke Settings > Camera > Formats. Cuma dengan format JPEG ni, saiz fail-fail imej anda adalah lebih besar dari imej di dalam format HEIC.
Sumber berita diperoleh dari The Verge













