Masihkah anda ingat dengan subsidi tiket penerbangan RM300 yang pernah diumumkan sebelum ini? Bermula dari 15 Ogos, pelajar-pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) boleh memohon subsidi tersebut untuk laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, subsidi ini hanya sah bagi pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi sehala dan pergi balik di antara tempat asal pelajar dengan lokasi pengajian.
Tambah beliau lagi, inisiatif dari kerajaan ini melibatkan kos sebanyak RM16.8 juta dan akan memanfaatkan lebih 56,000 pelajar IPTA di seluruh negara.
Bagi pembelian tiket yang berharga kurang dari RM300, pelajar-pelajar berkenaan boleh menggunakan baki tersebut untuk tiket penerbangan berikutnya. Baucar FLYsiswa ini hanya boleh digunakan untuk tiket penerbangan Malaysia Airlines, Airasia, Batik Air, Firefly dan MYAirline.
Tarikh akhir penebusan baucar ini adalah pada 31 Disember 2023. Anda boleh menggunakan subsidi tiket penerbangan berkenaan selepas tempoh penebusan tamat pada 31 Disember 2023.
Sebelum menghantar permohonan, anda boleh membuat semakan kelayakan menerusi laman web rasmi Kementerian Pengangkutan. Untuk memohon, masukkan nombor kad pengenalan (MyKad) dan nama institut pengajian tinggi awam anda.
Berdasarkan laman web rasmi Kementerian Pengangkutan, pelajar yang berdaftar dengan tahun akademik 2022/2023 sehingga 30 Jun 2023 layak untuk subsidi ini. Bagi yang tidak layak, permohonan rayuan boleh dibuat melalui IPTA berkenaan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.













