5G merupakan antara topik hangat yang dibincangkan di dalam industri telekomunikasi di seluruh dunia termasuk Malaysia memandangkan negara kita sedang memulakan program 5G di peringkat kebangsaan. Rangkaian 5G di Malaysia dijangka akan dilancarkan untuk kegunaan komersil sekitar tahun 2021 atau 2022.
Bagaimanapun, sebuah negara jiran kita di rantau Asia Tenggara telah mengorak selangkah ke hadapan apabila melancarkan rangkaian 5G untuk tujuan komersial dalam tahun ini juga. Negara yang dimaksudkan bukanlah Singapura, sebaliknya, ia adalah Filipina.
Menurut pengumuman yang dikeluarkan oleh Globe Telecom, pelan pasca bayar terbaru Globe At Home Air Fiber 5G akan tersedia di beberapa kawasan terpilih di dalam Filipina bermula dari Julai 2019 ini.
Dikhususkan untuk pengguna kediaman, pihak syarikat telekomunikasi berkenaan memutuskan untuk menggunakan rangkaian 5G berbanding rangkaian berwayar adalah disebabkan oleh kekangan birokrasi yang memakan masa bertahun-tahun untuk disiapkan.
Pelan internet berkelajuan tinggi ini hadir dengan kuota data 2TB sebagai standard dan harganya ditetapkan mengikut kadar kelajuan yang ditawarkan. Contohnya, pelan 20Mbps pada harga PHP 1899 (kira-kira RM154) sebulan. Manakala pelan 50Mbps dan 100Mbps pula masing-masing ditawarkan dengan harga PHP 2499 (kira-kira RM202) dan PHP 2899 (kira-kira RM234).
Globe Telecom merupakan sebuah syarikat usaha sama di antara SingTel dari Singapura dan konglomerat tempatan, Ayala Corporation.
Apa yang mencuri tumpuan adalah Globe Telecom menggunakan peralatan Huawei untuk menyediakan rangkaian 5G ini. Sesuatu yang agak janggal memandangkan Filipina merupakan sekutu rapat Amerika Syarikat.
Pelancaran rangkaian 5G untuk kegunaan komersil di Filipina diharapkan boleh menjadi motivasi untuk membawakan teknologi rangkaian 5G ke Malaysia.
Sumber berita diperoleh dari Globe Telecom













