Buat pertama kalinya, FIFA 22 menjadi judul pertama di dalam siri permainan bola sepak berkomputer ini yang menyediakan fungsi pilihan tidak melihat pihak lawan meraikan gol yang dijaringkan.
Meraikan jaringan gol seringkali menjadi punca perbalahan di kalangan pemain-pemain FIFA terutamanya di peringkat kompetitif. Ia menjadi amat menyakitkan hati apabila permainan dilihat berat sebelah oleh sesetengah pemain.
Di dalam FIFA 21, EA telah membuang cara meraikan gol seperti ‘Shush‘ dan ‘A-OK’. ‘Shush’ dikritik kerana cara meraikan gol seperti ini melibatkan pemain bola sepak yang menjaringkannya melakukannya sambil berlari. Taktik ini dilihat seperti membuang masa bagi perlawanan yang kian sengit.
Untuk FIFA 22 ini pula, pemain boleh memilih untuk tidak melihat pihak lawan meraikan jaringan gol dengan mengubah tetapan Celebration Camera Focus baharu.
Secara lalai, ia ditetapkan untuk melihat pihak lawan meraikan jaringan gol. Tetapi apabila diubah, ia akan menumpukan pada reaksi pemain anda sahaja dan tetapan ini merangkumi setiap mod di dalam FIFA 22 dan bukan hanya di Ultimate Team.
Jaringan yang dibolosi sahaja pun sudah cukup menyakitkan hati, apatah lagi melihat pihak lawan yang menganjing dengan melakukan keraian jaringan gol. Oleh itu, perubahan ini diharapkan dapat meningkatkan semangat kesukanan di kalangan pemain-pemain FIFA.