Pada majlis perasmian pembukaan pejabat Facebook Malaysia hari ini, Facebook turut mendedahkan rancangan teknologi tanpa-wayar Terragraph bakal dilaksanakan di Cyberjaya tidak lama lagi. Maklumat ini telah diumumkan oleh Pengarah Facebook Malaysia, Puan Nicole Tan.
Teknologi rangkaian berkelajuan gigabit ini direka khusus supaya lebih kos efektif berbanding rangkaian gentian optik. Pelaksanaan teknologi ini juga kurang dari segi kos implementasi berbanding gentian optik. Atas sebab itu, Terragraph dianggap sesuai untuk diuji di Georgetown, Pulau Pinang bagi memastikan pemasangan rangkaian internet berkelajuan tinggi tidak mengganggu infrastruktur bandaraya yang diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO tersebut.
Menurut Nicole, pelaksanaan Terragraph di Cyberjaya dilaksanakan secara usaha sama dengan pembekal perkhidmatan tempatan dan pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat tidak lama lagi. Di Pulau Pinang, Facebook bekerjasama dengan YTL Communications untuk melaksanakan teknologi rangkaian tanpa-wayar berkenaan.
Dalam perkembangan yang sama, Nicole turut mengesahkan bahawa pelaksanaan Terragraph di Cyberjaya akan dijalankan pada tahun 2019. Maklumat lanjut mengenainya mungkin kita akan dapat ketahui dalam masa yang terdekat ini.
Sumber berita diperoleh dari Berita Harian













